MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

UMNO Kedah Tolak Kepimpinan Mukhriz

Hampir seluruh kepimpinan UMNO Kedah menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah mengumumkan demikian selepas pertemuan tertutup dengan hampir semua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen negeri ini daripada UMNO.

Turut hadir dalam pertemuan itu di Hotel Seri Malaysia di sini pada Rabu ialah ketua-ketua sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO negeri tersebut. Sidang akhbar berlangsung di Hotel Grand Alora di sini.Antara pemimpin hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Pertahanan yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharom dan Pengerusi Tabung Haji yang juga anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Semua Ketua UMNO bahagian di Kedah hadir kecuali Jerlun iaitu Mukhriz merupakan Ketua Bahagian manakala Padang Terap diwakili Datuk Seri Ghazali Ibrahim kerana ketuanya, Datuk Seri Mahadzir Khalid berada di London atas urusan rasmi sebagai Menteri Pendidikan.

Ahmad Bashah berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan kepada kelemahan serta ketidakupayaan Mukhriz menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti tersebut di negeri Kedah.

“Tiada sebarang perancangan strategik parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14. Gagal dalam mengetuai jentera parti selepas mengambil alih kepimpinan parti di Kedah serta sebagai Menteri Besar beliau gagal mengurus tadbir kerajaan negeri secara berkesan,” kata Ahmad Bashah yang membaca kenyataan media.

Sehubungan dengan itu, mereka meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk segera membuat perubahan ke atas kepimpinan tertinggi parti tersebut di Kedah serta menukar Menteri Besarnya.

Sumber:mynewshub