MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Umno Kedah pula tuntut tindakan pada Khairuddin

Pemuda Umno Kedah menggesa Jawatankuasa Pengurusan dan lembaga disiplin parti segera mengadakan siasatan terhadap Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung tindakannya mengkritik kepimpinan Umno Pulau Pinang.

Ketua Pemudanya Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan tindakan Khairuddin itu menjatuhkan imej dan keyakinan terhadap kepimpinan parti, 'menangguk di air keruh' dan mencari publisiti murahan, lapor Utusan Malaysia hari ini.

"Kita menyokong kenyataan Pemuda Umno Pulau Pinang agar Khairuddin dikenakan tindakan keras kerana perbuatan beliau telah menjejaskan imej parti," katanya seperti dilapor oleh akhbar itu.

Sebelum ini, Ketua Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim dilapor mendesak Umno negeri bertindak dan mengadakan mesyuarat khas membincangkan isu Khairuddin yang menggunakan portal “propembangkang” menyerang Umno.

Saiful mengulas kritikan Khairuddin yang mendakwa pemimpin Umno Pulau Pinang 'tidur' dan beliau menggesa Pengerusi Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman ditukar jika enggan berdepan dengan kekalahan pada pilihan raya umum akan datang.

Khairuddin membandingkan pemimpin Umno dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang kerap turun padang bertemu dengan rakyat dan sebelum itu beliau membuat laporan polis terhadap 1MDB - badan pelaburan cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan milik penuh Kementerian Kewangan.

Sementara itu, dalam laporan yang lain, Ketua Wanita Umno negeri Norliza Abdul Rahim menafikan pemimpin parti itu di Pulau Pinang 'tidur' seperti yang didakwa oleh Khairuddin.

Sebaliknya, Norliza menegaskan Umno negeri sentiasa mengadakan program dan aktiviti dengan akar umbi di peringkat negeri dan bahagian dan memberi perhatian dengan setiap masalah yang dikemukakan.

"Sepatutnya jika dia (Khairuddin) mendapati kepimpinan Umno kurang efisien, dia boleh mengemukakan cadangan di peringkat negeri dan bahagian untuk tindakan selanjutnya.

"Saya tidak faham kenapa dia menuduh Umno negeri sebegitu," kata Norliza seperti dilapor dalam akhbar itu.

Sementara itu, dalam reaksinya, Khairuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya buat masa ini.

"(Saya) tak mahu gaduh dengan Umno. Dan akan jawab semua dalam masa terdekat," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini petang semalam.

- malaysiakini