MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Peluang BN menang di Kedah tipis, faktor Dr M antara punca

Faktor Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mampu menggugat peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis politik.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar dan penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain sependapat, susulan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Mahathir akan memainkan peranan penting untuk merampas Kedah yang merupakan negeri asal bekas perdana menteri itu.

Hisomuddin berkata, BN yang sudah hilang sokongan di kawasan penyokong Dr Mahathir, seperti Langkawi dan Kubang Pasu, boleh mengekalkan sokongan orang Melayu dengan bantuan PAS, tetapi kerjasama itu tidak baik untuk parti Islam itu.

“Ada corak unik pergerakan pengundi Melayu sejak Ilham Centre mula memantau Amanah dan PPBM. Penerimaan terhadap PPBM agak ketara,” katanya kepada FMT.

PPBM yang diasaskan Dr Mahathir kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. PAS memutuskan tidak menyertai pakatan itu kerana tidak sebulu dengan DAP dan Amanah.

Atory yang mengkaji sejarah kepimpinan Dr Mahathir berkata, BN masih mempunyai peluang 50-50 untuk mengekalkan pemerintahan di Kedah, di mana ia kini menguasai 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun usahanya itu lebih mudah jika mendapat kerjasama PAS.

PAS mempunyai 8 kerusi, manakala baki 8 lagi kerusi dimiliki PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

“Jika PAS kembali kepada Pakatan, BN akan kalah. Jika PAS tidak bantu BN, gabungan itu mungkin hilang banyak kerusi,” katanya sambil menambah ia disebabkan Umno sudah berpecah dengan ramai ahlinya menyertai PPBM.

“Dari segi psikologi, ini sesuatu yang Umno bimbangkan.”

Kekuatan PAS

Pun begitu, Hisomuddin berkata kekuatan PAS tidak boleh diabaikan kerana parti itu mempunyai penyokong tegar seperti Umno, khasnya di kerusi seperti Tokai, Bukit Pinang, Anak Bukit dan Sungai Limau.

“Ia tidak begitu kuat di tempat lain, jadi pengundi atas pagar dan pengundi luar yang bekerja di Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur, seramai 35% hingga 40% yang menentukan pihak mana akan menang,” katanya.

Sementara itu, Atory berkata, sokongan rakyat kepada Amanah juga semakin meningkat sejak penubuhannya oleh sekumpulan bekas pemimpin progresif PAS dan parti baharu itu mungkin dapat menggantikan tempat PAS dalam pakatan pembangkang.

“(Mursyidul Am PAS, Datuk) Nik Aziz Nik Mat sudah tiada lagi. PAS tidak mempunyai pemimpin yang mempunyai pengaruh sama. Malah di Kelantan, terdapat isu yang boleh menjejaskan sokongan PAS seperti banjir dan pembalakan.

“Jika itu boleh berlaku di kubu kuat PAS di Kelantan, mereka juga mungkin boleh hilang sedikit sokongan di Terengganu dan Kedah. Saya dengar yang ceramah PAS di kerusi mereka di Terengganu tidak mendapat sambutan baik daripada rakyat,” katanya sambil menambah parti itu boleh kehilangan pengundi atas pagar kepada Amanah dan PPBM di Terengganu.

- freemalaysiatoday