MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Najib tak macam bapanya, kata Dr Mahathir pada orang Kedah

Selepas memperkenalkan diri sebagai 'Team B' Umno, pasukan yang menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak itu memilih Jitra untuk siri ceramahnya.

Acara malam tadi berlangsung di Napoh, sebuah pekan kecil di Jitra, yang cuma 18 minit ke sempadan Thailand, Bukit Kayu Hitam.
 
Antara digolongkan dalam kumpulan itu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya Mukhriz, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri pusat Datuk Seri Shafie Apdal.
 
Dewan Lye Huat malam tadi penuh dengan kira-kira 2,000 penyokong dalam program dua jam bermula 8.30 malam.
 
Kelihatan sedikit batuk-batuk, Mahathir yang kini berumur 91 tahun, berucap hampir sejam dan hanya menamatkan ucapannya untuk bergegas pulang dengan penerbangan ke Kuala Lumpur pada tengah malam.
 
Selain membangkitkan dakwaan amalan urus tadbir yang tidak baik, Mahathir berkata Najib telah berubah selepas mendapat kuasa.
 
Pemimpin PAS, AMANAH turut hadir
 
Malah, kata Mahathir, beliau tidak seperti bapanya Tun Abdul Razak, perdana menteri kedua.
Katanya, tidak seperti Razak, pentadbiran Najib didakwa menggunakan pendekatan “cash is king” (duit itu raja).
 
Menurut Mahathir, Najib berasa beliau boleh melakukan apa sahaja selagi memberikan wang kepada rakyat.
 
Antara yang hadir ke acara malam tadi ialah pemimpin PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Datuk Phahrolrazi Mohd Nawawi.
 
Turut hadir pendebat terkenal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
 
Orang ramai memberikan tepukan gemuruh manakala Mukhriz sempat mengambil gambar selfie bersama orang ramai.
 
Video AG kena bu
 
Secara berjenaka beliau berkata terpaksa melakukannya supaya tidak dituduh pemimpin Umno hanya 200 orang hadir dalam acara itu.
 
Ucapan Mukhriz lebih banyak menumpukan kepada penglibatan Najib dalam kontroversi 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.
 
Beliau malah menunjukkan rakaman video menunjukkan perbezaan penjelasan Najib berkaitan wang itu, yang dimasukkan ke akaunnya sebelum pilihan raya umum ke-13.
 
Ketika ditunjukkan rakaman Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan salah laku, ia disambut sorakan bu oleh penonton.
 
Acara itu dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka “Jaringan Gelombang Merah” bagi mengumpulkan tandangan terhadap Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran Najib.
 
Deklarasi itu, yang turut melibatkan pemimpin pembangkang, menyasarkan sejuta tendangan untuk dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
 
Sementara itu, Shafie pula berkata, sepanjang kerjaya politiknya dalam tujuh kementerian, beliau tidak pernah melihat dakwaan rasuah sebesar itu.
 
- malaysiakini