MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Mukhriz tersepit antara bapa dan bos

Ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Mungkin itulah dilema Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz ketika bapanya Tun Mahathir Mohamad menyerang keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Seorang wakil rakyat BN di Kedah memberitahu berkata, selepas pertemuan khas dengan pemimpin-pemimpin penting parti itu di Alor Setar semalam, Mukhriz dilihat "serba salah dan tersepit”.

Katanya, ia membuatkan Mukhriz "berhati-hati" mengeluarkan kenyataan demi menghormati Najib selaku orang nombor satu kerajaan dan bapanya, tokoh Umno paling berpengaruh.

“Beliau perlu mengeluarkan kenyataan dalam situasi menang-menang, ambil pandangan semua pihak supaya perdana menteri tak terasa, Tun (Dr Mahathir) pun tak terasa.

"Kenyataan itu yang menjadi satu keputusan yang konsensus, bukan keputusan seorang diri. Di Kedah ini, sensitif sikit kerana Dr M ada pengikut yang ramai. Salah sebut (sikit, penyokong) Dr M akan terasa.

"Bukan mudah, banyak sudut kena fikir termasuk kesan dalam pilihan raya kecil nanti," kata wakil rakyat itu yang enggan namanya disebut ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin sebelum ini menggesa Mukhriz meletakkan jawatan jika tidak menyokong kepimpinan Najib ketika berdepan asakan Mahatahir.

Mesyuarat 24 April

Mahathir sejak awal bulan ini mempergiat asakan terhadap kepimpinan Najib dengan membangkitkan pelbagai isu kontroversi, antaranya kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan 1Malaysia Developement Bhd (1MDB).

Ahmad dilapor membuat gesaan itu selepas pertemuan Mukhriz dengan beberapa pemimpin termasuk wakil rakyat dan ketua bahagian Umno di kediaman rasmi menteri besar semalam.

Mengulas perkara itu, sumber dalaman Umno Kedah berkata mereka hanya akan memuktamadkan pendirian terhadap kepimpinan Najib pada 24 April ini selepas maklum balas semua pihak.

Ia akan diperhalusi dalam pertemuan yang dirancang di Kuala Lumpur bagi mencari kesepakatan semua pihak.

Sumber memberitahu, tarikh itu dipilih, memandangkan kini ramai pihak sibuk dengan urusan masing-masing, termasuk berada di luar negara.

Sementara itu, wakil rakyat Umno yang hadir dalam pertemuan semalam juga berkata Mukhriz "tidak pernah sebut tidak menyokong PM" dalam pertemuan semalam.

Beliau juga menegaskan kenyataan Mukhriz dalam jalis itu hanya kenyataan peribadi.

"Kalau kata ada keputusan (selepas pertemuan itu) ia adalah bersifat separuh masak. Keputusan konsensus pada 24 April. Keputusan perlu dibuat bersama-sama dan tertib.

“Bukan senang jadi anak Tun Dr Mahathir," katanya.

- malaysiakini