MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Mukhriz enggan nyata pendirian, UMNO Kedah jadi panas

Suhu politik Kedah bertambah panas hari ini apabila Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah memanggil mesyuarat tergempar di kalangan pemimpin UMNO Negeri di kediaman rasminya di Sri Mentaloon.

Mesyuarat tergempar yang bermula 9 pagi hingga 11 pagi tadi khusus untuk membincangkan tentang pendirian rasmi UMNO Kedah tentang sokongan terhadap Perdana Menteri berikutan serangan bertali-arus daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin, mesyuarat berlangsung dalam suasana tegang berikutan tindakan Mukhriz yang enggan membuat kenyataan terbuka di dalam menyokong kepimpinan Perdana Menteri.
 
Beliau yang mahukan Menteri Besar tidak melengahkan lagi pernyataan sokongan terbukanya terhadap Najib, turut mengingatkan Mukhriz bahawa kedudukannya sebagai orang nombor satu Kedah itu juga adalah di atas lantikan Perdana Menteri.
 
Kedah menurut beliau, sememangnya amat lambat berbanding negeri-negeri lain di dalam menyokong Perdana Menteri.
 
"Kita semua dilantik oleh Perdana Menteri, sama ada sebagai Menteri Besar atau anggota Dewan Undangan Negeri. Jika beliau (Mukhriz) enggan menyokong Perdana Menteri, beliau sepatutnya meletakkan jawatan," tegasnya.
 
Katanya, di dalam mesyuarat hari ini Menteri Besar turut menyatakan beliau akan membuat kenyataan yang selari dengan aspirasi rakyat terutamanya berkenaan isu 1MDB.
 
Pada akhirnya kata Ahmad Lebai, Mukhriz memutuskan akan mengeluarkan kenyataan rasmi tentang kedudukan UMNO Kedah berkenaan isu sokongan terhadap Najib pada 24 April ini di Kuala Lumpur selepas mengadakan mesyuarat dengan kesemua pemimpin Umno Kedah.
 
"Bagaimanapun jika Mukhriz tetap enggan menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri, ADUN-ADUN Kedah yang lain akan membuat kenyataan yang berasingan bagi menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri," katanya.
 
Turut hadir menghadiri mesyuarat hari ini termasuk Ketua UMNO Bahagian Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua UMNO Bahagian Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad; ADUN Kuah Nor Saidi Nahyan; ADUN Kuala Nerang Datuk Badrul Hisham Hashim; dan Setiausaha UMNO Kedah Datuk Othman Aziz.
 
- malaysiagazette