MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Keahlian Anina gugur serta merta

Anina Saaduddin - perwakilan wanita Umno Langkawi yang menyaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak - terlucut keahlian Umno berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusof mengesahkan perkara itu dan berkata, keahlian Anina gugur kerana membawa hal berkaitan parti ke mahkamah.

"Secara automatik (keahlian Anina) dah terlucut berdasarkan Akta Pertubuhan parti sebab membawa hal parti ke mahkamah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Surat mengenai perkara itu, yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dikatakan telah dihantar kepada Anina.

Bila dihubungi melalui WhatsApp, Tengku Adnan mengesahkan surat tersebut.

Sementara itu, peguam yang mewakili ahli Umno Langkawi Anina Saaauddin yang memfailkan saman terhadap Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata, mereka akan berhujah di mahkamah, berikutan ancaman pemecatan anak guamnya itu.

Hanif Khatri Abdullah (gambar) berkata, insya-Allah, mereka akan bersedia untuk berhujah mdngenai perkara dari semua sudut.

"Apa sahaja tindakan (untuk menentang ancaman pemecatan itu) kami akan lakukan di mahkamah. Kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, "katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Anina telah memfailkan saman pada hari Jumaat melalui firma guaman Hanif untuk mendapatkan sebahagian daripada RM2.6 bilion sumbangan untuk parti yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Sebanyak AS$650 juta dikatakan baki daripada jumlah asal AS$681 juta (RM2.6 bilion) perdana menteri telah terima sebagai sumbangan.

Pemindahan AS$650 juta ke Singapura, didakwa berlaku pada 30 Ogos 2013, hari yang sama Najib didakwa menutup akaunnya.

Selain menamakan Najib, Anina turut menamakan setiausaha kerja Umno, Abdul Datuk Rauf Yusoh sebagai defendan lain.

Hanif berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan peguam Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang Anina akan dipecat dari Umno sebaik sahaja Najib menerima saman itu.

Menurut Sin Chew Daily, Pejabat Umno akan mengeluarkan notis kepada Anina untuk membatalkan keahliannya.

Hafarizam dilaporkan berkata, di bawah Pendaftar Akta Pertubuhan 1966, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar atau membuat keputusan mengenai hal ehwal parti dan oleh itu, Anina akan boleh hilang keahliannya.

Dalam samannya itu, Anina memohon injunksi terhadap Najib dan Abdul Rauf atau ejen dan/atau pekerja dalam lembaga disiplin, Majlis Tertinggi, badan perhubungan negeri,bahagian, dan cawangan, supaya dihalang daripada membuang, menggugurkan, menggantung dan/atau mengambil sebarang disiplin terhadapnya sementara menunggu pelupusan kes itu,

Oleh itu, permohonan injunksi ini perlu didengar terlebih dahulu sebelum saman itu.

Hanif memberitahu Malaysiakini bahawa tarikh pengurusan kes telah ditetapkan pada 21 September di hadapan timbalan pendaftar.

"Mungkin masa itu kita akan tahu," tambahnya.

- malaysiakini