MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Warga emas rentung dalam rumah pusaka

Seorang lelaki ditemui rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah papan setingkat di sini, pagi semalam.

Mangsa, Abdul Aziz Ab Wahab, 62, terperangkap dalam kebakaran rumah pusaka berusia hampir 100 tahun itu yang dipercayai berpunca daripada lilin dinyalakan olehnya disebabkan tiada kemudahan elektrik di kediaman tersebut.

Menurut adik mangsa, Abdul Halim Ab Wahab, 60, abangnya yang tinggal bersama ibu bapa mereka di Lorong Panglima, Guar Chempedak kerap mengunjungi rumah tinggalan arwah datuk mereka di sini untuk membersihkan kawasan sekeliling, tetapi tidak pernah bermalam di situ.

“Masa ziarah ibu bapa kami, saya jumpa Aziz sekali. Tak ada perubahan pada diri dia dan kami berbual macam biasa.

“Abang saya duda dan tak bekerja. Dia ada empat anak yang tinggal berasingan,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat, Hospital Besar Sultanah Bahiyah, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, PBK II Sobri Man berkata, pada jam 3.14 pagi, mereka menerima panggilan melaporkan terdapat kebakaran sebuah rumah di Kampung Tengah, berhampiran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Kedah.

Mereka bergegas ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 15 minit kemudian sebelum mendapati 98 peratus daripada rumah tersebut hangus dijilat api.

Sumber:Sinar harian