MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Warga emas hilang ditemui dalam semak

Misteri kehilangan warga emas berumur 91 tahun selama 48 jam berakhir apabila dia ditemui dalam kawasan semak dan berpaya dengan keadaan tidak bermaya, pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Sufian Alias berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dengan seluruh badan dalam air kecuali bahagian muka.

Beliau terkejut kerana Wa Yah Wa Nik dari Kampung Caruk Bakong yang dilaporkan hilang pada 4 Disember lalu dapat bertahan dalam keadaan demikian walaupun lemah dan kesejukan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disedari hilang oleh ahli keluarga selepas dua jam tidak pulang ke rumah.

Ahli keluarga bersama penduduk kampung kemudian melakukan pencarian tanpa memaklumkan kepada bomba pada peringkat awal.

“Namun, selepas mendapat aduan orang awam, bomba segera menyalurkan bantuan kira-kira jam 8.40 malam,” katanya.

Mohd Sufian berkata, operasi mencari selama tiga hari turut melibatkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk tempatan.

Sumber:Sinar harian