MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Wanita melecur separuh badan

Niat seorang isteri mahu memasak asam pedas tergendala selepas air rebusan cili tersimbah ke sebahagian badannya gara-gara pemegang kuali patah.

Noraini Hanafiah, 56, dari Kampung Kilang Kecil, Mukim Air Putih berkata, kuali itu baru pertama kali digunakan selepas dibeli di sebuah pasar raya di Kilang Kecil pada Selasa lalu.

Menurutnya, pada awalnya, tiada sebarang masalah pada pemegang kuali berkenaan, namun selepas air rebusan mendidih, dia cuba mengangkat kuali berkenaan sebelum pemegangnya patah dan air rebusan tersimbah ke badan serta kakinya.

"Ketika kejadian saya seorang sahaja yang ada di rumah. Saya hanya mampu menjerit kesakitan sebelum menghubungi suami memintanya  pulang segera.

"Akibat tak tahan dengan sakit ini, saya bertindak menyapu lecuran dengan menggunakan ubat gigi untuk rawatan awal," katanya yang terpaksa menggunakan kerusi roda selepas jari kaki dipotong kerana penyakit kencing manis.

Noraini berkata, dia kemudiannya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

"Doktor nasihatkan saya dapatkan rawatan susulan kerana bahagian badan dan paha mengalami lecuran serius," katanya.

Dalam pada itu, dia turut memaklumkan kejadian malang berkenaan kepada pemilik pasar raya supaya bertanggungjawab atas barangan yang dijual.

"Bagaimanapun pemiliknya memberi alasan bahawa dia hanya menerima barang daripada pengedar dan menjualnya sahaja.

"Pemilik pasar raya berkenaan hanya mahu menyelesaikan masalah ini dengan memberikan wang pampasan sebanyak RM150 tetapi saya menolak kerana tidak setimpal dengan apa yang ditanggung kini," katanya.

Sumber:Sinar harian