MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Tumpang mandi rumah saudara

Lebih 60 penduduk Ladang Padang Mieha, di sini bimbang dengan masalah bekalan air yang kerap terputus sejak dua minggu lalu.

Suri rumah, Suhana Wan Not, 33, berkata, masalah yang berlaku sejak dua minggu lalu itu menyebabkan rutin harian penduduk terganggu.

"Sebelum ini ada juga masalah air tapi tak seteruk sekarang. Dahlah musim panas, bekalan pula kerap terputus.

"Saya sekeluarga terpaksa mandi dekat rumah saudara terdekat, itupun sehari sekali atau dua kali saja," katanya.

Menurutnya, mereka juga terpaksa membeli makanan di kedai setiap hari disebabkan tidak mempunyai bekalan air untuk memasak.

Robiah Ahmad, 59, berkata, banyak paip di kawasan perumahan di situ telah pecah menyebabkan bekalan air terputus.

"Ada enam paip air pecah. Dah berpuluh kali kami telefon pihak terbabit untuk selesaikannya. Ada mereka datang dan baiki, tapi hanya bertahan untuk tiga hari saja.

"Paip itu pun dah lama tak berganti dan makin reput. Kami sangat perlukan air. Dah tak larat nak pergi ambil dan mandi di rumah orang," katanya.

Naib Pengerusi dan Setiausaha Bekas-bekas Pekerja Ladang Padang Mieha, Mohd Ali Abd Razak, 36, berkata, dia sudah mengajukan masalah ini kepada pihak terlibat, namun mereka memerlukan kelulusan pihak ladang untuk menggantikan paip air baharu.

“Kami juga dah mohon daripada pihak ladang untuk pasang bekalan air bersih, namun tiada jawapan,” katanya.

Menurutnya, paip baharu perlu dipasang segera kerana ia juga melibatkan pembaziran air bersih yang sepatutnya boleh digunakan penduduk.

Malah katanya, bekalan elektrik yang kerap terputus juga memberi tekanan kepada penduduk.

“Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Air Darul Aman (Sada), Rofedi Sulaiman berkata, aduan melibatkan paip air pecah sudah dibaiki pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) bagaimanapun permohonan untuk menukar paip baharu perlu mendapat kebenaran tuan tanah.

“Apabila kita dapat aduan, kita akan baiki paip tersebut dan dua tahun lepas kita dah tukar paip di jalan utama untuk elak masalah bekalan air.

“Tapi kalau nak tukar paip dalam kawasan ladang itu, setakat ini kami tak dapat apa-apa surat kebenaran daripada tuan tanah, jadi kami tak boleh buat sesuka hati,” katanya.

Sumber:Sinar harian