MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Tabah...anak hidap sawan, isteri lumpuh

Walaupun sudah berusia, penoreh getah, Abdul Majid Hashim, 70, tetap tabah dan reda menjaga anaknya yang menghidap sawan dan isterinya yang lumpuh sejak dua tahun lalu.

Abdul Majid berkata, anak bongsunya, Amiruddin, 29, menghidap sawan sejak berumur tujuh tahun dan sejak itu anaknya tidak boleh bercakap, manakala isterinya Hasnah Lat, 63, turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau berkata walaupun menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling sebanyak RM400 sebulan, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

"Disebabkan saya perlu menjaga isteri dan anak yang sakit di rumah, tugas mencari pendapatan kini diambil alih oleh anak ketiga, Mohd Fauzi, 41, yang tinggal bersama dan mengambil upah untuk menoreh getah di kebun jiran," katanya yang mempunyai empat anak berusia lingkungan 29 hingga 45 tahun.

Abdul Majid juga perlu berulang alik dari rumahnya di Kuala Pegang, Baling ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sejauh 200 kilometer, dan kadang-kala ke Hospital Besar Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan untuk Amirudin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang berkesempatan menziarahi Abdul Majid berkata, beliau akan berusaha membantu Amiruddin mendapatkan rawatan sesuai bagi membolehkannya menjalani kehidupan yang lebih baik.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi Abdul Majid di talian 019-5422725 atau menerusi akaun Bank Islam bernombor 220041539881.

Sumber:Sinar harian