MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Sembunyi dalam lubang kecil elak dicekup

Gara-gara bimbang dicekup pihak berkuasa, ada warga asing sanggup bersembunyi di dalam lubang kecil dan cuba melarikan diri dalam satu serbuan Ops Sapu di tapak pembinaan sekitar Pendang, Ahad lalu.

Bagaimanapun, usaha warga asing terbabit gagal apabila Jabatan Imigresen Kedah berjaya menahan 34 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan dalam serbuan berasingan di dua tapak pembinaan.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, dalam operasi bermula jam 4.30 petang itu, pihaknya menahan 17 warga asing di tapak pembinaan Pusat Perniagaan Serbaneka Tasik Pendang.

"Selebihnya 17 lagi warga asing ditahan dalam operasi di Lubuk Getah atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.

"Kesemua mereka yang merupakan pekerja tapak pembinaan berkenaan terdiri daripada 22 lelaki Bangladesh dan 12 lelaki Myanmar berusia antara 18 hingga 46 tahun," katanya.

Menurutnya, kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Pindaan 2002).

"Manakala seorang lelaki Bangladesh didapati tinggal melebihi masa selepas tamat tempoh pas lawatan sosial dan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama.

"Kesemua mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk siasatan sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik," katanya.

sumber:Sinar Harian