MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Sembilan peniaga kena kompaun

Seramai sembilan peniaga dikompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga merah jambu pada barangan kawalan yang dikuatkuasakan sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bermula 3 Februari lalu.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Sha’arani Miskat berkata, operasi melibatkan kekuatan 25 anggota penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan ke atas 600 premis tertumpu pada pasar raya, mini market, pasar malam, pasar pagi dan sebagainya di sekitar Daerah Kuala Muda dan Sik.

“Peniaga yang gagal meletakkan tanda merah jambu pada barangan kawalan dikenakan kompaun yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000, mana-mana syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000,” katanya menerusi kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, seramai 15 peniaga lain turut dikompaun atas kesalahan lain iaitu tiga dikompaun kerana gagal pamer tanda harga, 10 gagal menggunakan alat timbang sukat sah dan dua dikompaun kerana membuat jualan murah tanpa notis.

“Nilai keseluruhan kompaun dikeluarkan sempena Tahun Baru Cina melibatkan RM5,000 dan nilai rampasan melibatkan RM6,000,” katanya.

Sha'arani berkata, dia turut memberi amaran terhadap mana-mana peniaga supaya mematuhi undang-undang dalam menjalankan peniagaan.

“Pihak kami sentiasa memantau aktiviti perniagaan yang tidak beretika dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melanggar undang-undang negara,” katanya.

Sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan dalam skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baharu Cina 2016 yang dikuatkuasakan sejak 3 hingga 14 Februari lalu.

Barang yang disenaraikan dalam skim kawalan harga adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih, ikan bawal putih, udang putih besar dan daging babi.

Tindakan akan diambil ke atas peniaga sekiranya didapati melakukan kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang telah ditentukan, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal dan gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual.

Sumber:Sinar harian