MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Sekeluarga hilang rumah dihanyut banjir

Satu keluarga di Banggol Derom di sini hilang rumah yang didiami sejak 23 tahun lalu apabila ia tidak lagi selamat diduduki selepas sebahagian kediaman mereka dihanyutkan arus sungai, hari ini.

Hujan lebat menyebabkan arus Sungai Ketil menjadi deras dan menghakis tebing yang menempatkan rumah Nur Ismaiza Ismail, 41, dan keluarganya sehingga sebahagian rumah itu dihanyutkan arus sungai.

“Banjir kali ini lebih teruk daripada sebelum ini sehingga menyebabkan rumah peninggalan arwah ayah yang didiami sejak 1992 terus hanyut dibawa arus sungai yang deras,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mereka sekeluarga hanya menyedari sebahagian rumah itu runtuh dibawa arus deras selepas datang melihat rumah berkenaan bersama wakil media petang tadi.

Menurut Nur Ismaiza, mereka sekeluarga telah berpindah ke pusat pemindahan kira-kira jam 2 pagi tadi selepas rumah yang ditinggalkan dalam keadaan baik itu mula dinaiki air.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, banjir yang mula melanda beberapa kawasan di daerah itu menyebabkan tebing Sungai Ketil runtuh di beberapa bahagian.

“Banjir kilat yang berlaku sejak semalam menyebabkan berlakunya hakisan tebing sungai sehingga sungai bertambah lebar," katanya.

“Rumahnya (Nur Ismaiza) tidak lagi selamat didiami setelah sebahagian rumahnya dibawa arus, jadi kita akan pindahkan keluarga ini ke Kedai Bonggol Petai,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Tabung Haji berkata penduduk di Baling baharu sahaja membersihkan rumah mereka yang dinaiki air beberapa hari lepas, sebelum berdepan situasi sama sekali lagi semalam.

Abdul Azeez sebelum ini turut meninjau beberapa kampung yang terjejas akibat banjir.

Sumber:Sinar harian