MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Remaja kritikal dipercayai dijangkiti leptospirosis

Remaja lelaki dipercayai dijangkiti virus leptospirosis berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, sejak Ahad lalu.

Mangsa, 17, berasal dari Gurun sebelum itu dikatakan mandi-manda bersama tujuh rakan lain di Lata Bukit Perak, Pendang pada 1 Mei lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, remaja itu menerima rawatan awal di pusat rawatan homeopati selepas mengalami demam, muntah dan sakit badan pada Sabtu lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Yan sebelum dirujuk ke ICU HSAH untuk rawatan pakar pada keesokkan harinya.

"Keadaan remaja itu didapati masih kritikal dan memerlukan rawatan rapi pakar perubatan.

"Pemeriksaan awal menunjukkan gejala serta tanda jangkitan leptospirosis dan pihak HSAH sudah menghantar sampel darah ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur untuk pengesahan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda mendapati remaja itu mandi bersama tujuh rakan lain di kawasan rekreasi berkenaan, tetapi rakan-rakannya tidak mengalami gejala sama.

Katanya, PKD Pendang mengesahkan tiada menerima notifikasi kes leptospirosis di daerah itu yang dikaitkan dengan Lata Bukit Perak dalam tempoh sama.

"Bagaimanapun, PKD Pendang akan membuat lawatan pemeriksaan ke Lata Bukit Perak, esok untuk memastikan tahap kebersihan dan tindakan sewajarnya termasuk arahan pembersihan dilakukan jika tahap kebersihan tidak memuaskan.

"Kawasan perkelahan itu tidak ditutup tetapi Jabatan Kesihatan Negeri menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan mandi di kawasan rekreasi air jika ada luka atau kudis.

"Orang ramai juga perlu menggelak meminum air sungai atau kolam yang tidak dimasak selain segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala demam, pening, sakit kepala dan muntah dengan mengunjungi klinik atau hospital," katanya.

 

 

Sumber:mymetro