MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Rahsia kereta nampak 'berat'

ANGGOTA UPP memeriksa tepung gandum dan minyak masak yang dirampas.

 

 

 

Bukit Kayu Hitam: Keadaan kereta Honda Accord yang dilihat ‘berat’ ketika bergerak membongkar kegiatan sepasang suami isteri warga Thailand cuba menyeludup 295 kilogram (kg) tepung gandum dan 289kg minyak masak bernilai lebih RM1,500 ke negara jiran, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.45 petang, pasangan suami isteri masing-masing berusia 33 tahun itu dalam perjalanan dari arah Jitra menuju ke Thailand selepas memperoleh bekalan barang kawalan itu dipercayai di kedai runcit di sekitar Pekan Jitra, di sini.

Bagaimanapun, kenderaan mereka ditahan ketika melalui sekatan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah Thailand selepas anggota bertugas yang menjalankan pemeriksaan mendapati sesuatu yang mencurigakan.

Komander UPP Kedah Abd Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapati keadaan kereta itu ‘rendah’ berbanding biasa lalu membuat pemeriksaan lanjut sebelum menemui 21 kotak tepung gandum dalam but belakang dan tempat duduk belakang kenderaan terbabit.

Menurutnya, siasatan juga menemui 17 kotak mengandungi minyak masak berpeket di ruang celah but belakang dan tempat duduk belakang penumpang kenderaan terbabit.

“Hasil siasatan lanjut menemui 85 peket tepung gandum dipercayai disorok di bawah tempat tayar simpanan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Berdasarkan siasatan, suspek mengaku mahu menjual barangan berkenaan di Thailand kerana pasaran di negara terbabit lebih tinggi berbanding negara ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro