MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Port kaki ponteng puasa diserbu

Dua kaki ponteng puasa bertempiaran lari ke dalam semak selepas sebuah rumah usang yang dijadikan tempat menjual makanan kepada orang tidak berpuasa diserbu pihak berkuasa di Lepai, Bukit Pinang.

Dalam operasi bermula jam 9.30 pagi itu, dua lelaki itu  dilihat berlari meninggalkan makanan yang tidak sempat dibungkus sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Difahamkan, dalam pemeriksaan kali pertama minggu lepas, rumah berkenaan ‘bersih’ daripada aktiviti jual beli kepada orang tidak berpuasa, bagaimanapun kali ini pelbagai makanan memenuhi ruang rumah itu.

Ketika serbuan peniaga di rumah usang itu tidak melarikan diri dan difahamkan dia menjual makanan serendah RM5.90 untuk lauk seperti ayam kepada kaki ponteng puasa sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu, dalam serbuan di Langgar pula, seorang kaki ponteng melarikan diri ke dalam sawah selepas sebuah kereta berwarna putih yang dipercayai menjual makanan di dalam but diperiksa.

Makanan yang siap dibungkus itu dijual oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an pada awal pagi sekitar Langgar.

Penguatkuasa MBAS memeriksa makanan yang dijual di rumah berkenaan.

Terdahulu, operasi membanteras penjualan makanan sebelum jam 3 petang berkenaan membabitkan kira-kira 27 penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Ketua Bahagian Penguatkuasa MBAS, Saifullizam Othman berkata, empat premis sekitar Lepai, Batas Paip, Pokok Sena dan Langgar diperiksa dalam operasi itu.

Beliau berkata, pada serbuan itu, pihaknya merampas makanan yang dijual lelaki berkenaan.

"Selain itu, kami turut merampas makanan dan peralatan memasak di empat lokasi terlibat kerana disyaki melakukan kesalahan  sementara pemiliknya hanya dibenarkan mengambil barangan semula selepas jam 3 petang," katanya.

Saifullizam berkata, pemilik rumah berkenaan akan disiasat di bawah Undang-undang Kecil (UKK) MBAS 2010, yang mana mereka boleh dikenakan kompaun RM300 sekiranya didapati bersalah menjual sebelum masa ditetapkan.

"Jika sabit kesalahan peniaga terlibat akan dikenakan denda tidak kurang dari RM2,000 ataupun hukuman penjara tidak kurang enam bulan, ataupun kedua-dua sekali," katanya.

 

sumber:Sinar harian