MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Perlis, Kedah, Pulau Pinang kini pulih rabies

Jabatan Perkhidmatan Veterinar hari ini mengisytiharkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pulih daripada penyakit anjing gila atau rabies.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Kamaruddin Md Isa berkata pengisytiharan itu dibuat selepas mengambil kira kes terakhir yang direkodkan di tiga negeri terbabit sejak 21 September lepas.

"Sejak tarikh itu tiada kes baharu dikesan dan kita mengambil kira tempoh inkubasi penyakit selama 14 hari.

"Dari tempoh kes terakhir hingga hari ini sebanyak tiga kali jangka masa inkubasi sudah dicapai dan tiada lagi kes dikesan sebelum memutuskan kes rabies di ketiga-tiga negeri “resolved” (pulih)," katanya pada sidang media di pejabatnya.

Hadir sama timbalannya Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

 Kes rabies mula dikesan di Perlis pada 19 Ogos lepas, menular ke Kedah dan Pulau Pinang sehari selepas itu, hingga memaksa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengisytiharkan ketiga-tiga negeri tersebut sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila.

Ditanya mengapa tidak diisytiharkan sebagai “bebas”, Kamaruddin berkata Malaysia perlu membuktikan tiada penyakit rabies untuk tempoh 2 tahun untuk berstatus “bebas” selaras dengan ketetapan piawaian Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

"Jika tiada kes berlaku sehingga penghujung 2017, barulah Malaysia boleh mengemukakan laporan kepada OIE bagi tujuan tersebut," katanya

Kali terakhir Malaysia memperoleh status bebas rabies ialah 2013.

Beliau berkata sejak penyakit rabies dikesan sehingga 31 Oktober lepas, sebanyak 11,298 anjing sudah divaksin dengan 6,506 daripadanya di Kedah.

Usaha kawalan rabies juga melibatkan 32,319 kempen kesedaran, majoritinya membabitkan kunjungan rumah.

– bernama