MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Penduduk Kampung Seberang Chegar bantah kadar cukai pintu

Penduduk Kampung Seberang Chegar, Anak Bukit di Alor Setar membantah kadar cukai pintu yang dikenakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang disifatkan terlalu tinggi dan membebankan.

Kira-kira 15 wakil penduduk itu hadir di Pejabat MBAS untuk membuat bantahan yang antara lainnya mendakwa tidak diberi penerangan terlebih dahulu mengenai cukai yang dikenakan terhadap mereka itu.
 
Wakil penduduk Mohd Fauzi Abu Bakar, 55, mendakwa mereka tidak diberi penerangan mengenai cukai tersebut sebaliknya menerima surat daripada MBAS dua hari lepas yang meminta mereka membayar cukai tersebut sebelum 28 Februari ini.
 
Katanya cukai yang dikenakan terhadap mereka adalah antara RM70 hingga lebih RM300 bagi tempoh setahun, sedangkan dakwanya mereka tidak mendapat perkhidmatan daripada MBAS seperti penyelenggaraan longkang, tong sampah dan lampu jalan.
 
"Ada lebih 70 buah rumah di kampung ini yang sebelum ini tidak pernah dikenakan cukai pintu. Rata-rata ketua keluarga berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan yang turut menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," kata bekas tentera itu.
 
Katanya sepatutnya MBAS memberikan notis awal atau turun padang bertemu dengan penduduk bagi menjelaskan berkaitan cukai yang dikenakan terhadap mereka.
 
"Mereka perlu kaji balik cukai tersebut agar tidak membebankan penduduk yang rata-rata yang berkerja sendiri dan petani, terutamanya golongan ibu tunggal," katanya.
 
Seorang penduduk Nor Aishah Darani, 48, berkata mereka akan membayar cukai tersebut sekiranya MBAS menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan sama seperti penduduk yang membayar cukai tersebut.
 
"Kami akur dengan keputusan MBAS yang mahu kenakan cukai ke atas kami tetapi ia perlu seiring dengan perkhidmatan yang disediakan. Kalau tak ada kemudahan, sukar untuk kami bayar cukai ini," katanya.
 
Sementara itu Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad berkata pihaknya akan mengkaji semula kadar cukai pintu yang perlu dibayar oleh penduduk dan akan memberi perkhidmatan sepatutnya dalam tempoh terdekat.
 
"Kami akan hantar pegawai bertugas untuk kaji semula nilai cukai pintu mengikut jenis rumah dan penduduk diberi tempoh sehingga 30 Jun ini bagi melakukan pembayaran cukai," katanya.
 
Beliau berkata cukai pintu dikenakan terhadap rumah di kampung tersebut memandangkan kawasan tersebut telah digazetkan dalam rancangan Bandaraya Alor Setar.
 
"Dalam tempoh setahun kita hanya kutip lebih RM7,000 sahaja dan terpaksa membayar kepada kontraktor lebih daripada RM20,000 untuk melakukan kerja-kerja memotong rumput, mengutip sampah dan sebagainya," katanya.
 
- Bernama