MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Pelanggan bertuala walau hanya urut kaki

Seorang pelanggan dicekup dalam keadaan hanya bertuala dalam Ops Ikrar di premis pusat urut kaki refleksologi di Jalan Kampung Perak, di sini, kelmarin.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohamad Yusri Hashim, tiga pekerja premis urut berkenaan didapati leka mengurut pelanggan ketika serbuan dilakukan.

“Kami mengesyaki ada kegiatan tidak bermoral dilakukan mengikut permintaan pelanggan di premis yang mendakwa hanya menawarkan perkhidmatan urut tapak kaki.

“Apatah lagi, ada pelanggan dilihat dalam keadaan bertuala semata-mata, padahal pusat berkenaan menyatakan menawarkan perkhidmatan mengurut kaki sahaja,” katanya.

Untuk itu, Yusri berkata, dua wanita Thailand berusia antara 42 dan 46 ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas lawatan untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral.

Menurutnya, mereka akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana disyaki melanggar syarat pas lawatan sosial.

Serbuan berkenaan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Phon Ai Liap bersama 13 pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan bermula jam 6 petang.

Dua wanita berkenaan ditahan untuk disiasat di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Sumber:Sinar harian