MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Pekerja kilang didenda RM800

Seorang pekerja kilang didenda RM800 atau dua bulan penjara atas tuduhan gagal memberi keterangan munasabah terhadap pelbagai jenis barangan dimilikinya di kediaman sewanya, Februari lalu.

Mohd Johari Marzuki, 34, dikenakan hukuman selepas membuat pengakuan bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun.

Mengikut pertuduhan, Mohd Johari dituduh gagal memberi penjelasan yang munasabah bagaimana memperoleh pelbagai barangan tersebut.

Tertuduh didakwa menyimpan 12 jam tangan pelbagai jenama, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, televisyen, kamera litar tertutup dan speaker pelbagai jenama di sebuah rumah sewa di Jalan Bujang Utama, Taman Lembah Bujang Utama, Bedong, kira-kira jam 4.45 petang, 10 Februari lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 29 A (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd Nasir.

Dalam rayuan, Mohd Johari merayu kepada pihak mahkamah supaya mengenakan denda yang minimun berikutan mempunyai tanggungan dua anak, isteri dan ibu bapa.

Bagaimanapun, Nur Anida memohon pihak mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan bersifat pengajaran kepada Mohd Johari mengambil kira kepentingan awam.

Mengikut fakta kes, sepasukan polis berjaya menemui barangan tersebut dan menahan tiga lelaki ketika serbuan di rumah Mohd Johari.

Siasatan lanjut polis, Mohd Johari mengaku kesemua barang yang dirampas dibeli daripada rakan, tetapi gagal memberikan keterangan yang munasabah.

Sumber:Sinar harian