MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Panggilan kecemasan ular meningkat dua kali ganda

Panggilan kecemasan berhubung kemasukan ular di premis kediaman meningkat dua kali ganda sepanjang tempoh berlakunya fenomena El Nino, di sekitar daerah Kubang Pasu.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kubang Pasu, Kamalruzamal Kasa berkata, dari bulan Disember hingga Mac, JPAM telah menerima 87 panggilan kecemasan yang melibatkan kes kemasukan ular di kediaman penduduk daerah Kubang Pasu.

"Disember lalu, kita menerima 25 panggilan manakala bagi Jan (33 panggilan); Februari (23 panggilan) dan 1 hingga 16 Mac sebanyak enam panggilan dan angka itu meningkat dua kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Keadaan panas akibat fenomena El Nino ini merupakan salah satu faktor jumlah ular yang masuk di kediaman penduduk meningkat kerana ular-ular ini mencari kawasan yang sejuk selain ingin mencari tempat berlindung akibat habitat mereka di kawasan hutan terbakar," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, apabila mendapat panggilan kecemasan, mereka akan memberi respons dengan segera dan akan menjalankan pencarian di setiap pelusuk rumah bagi memastikan keselamatan penghuni rumah tidak berada dalam keadaan bahaya.

"Kami akan lakukan pemeriksaan terperinci di setiap sudut rumah tetapi kadang-kadang kami berjaya tangkap dan ada ketika bila kami sampai ular sudah pun keluar. Antara jenis ular yang banyak ditangkap ialah ular tedung senduk, ular susuk kerbau dan ular sawa.

Apabila ular masuk di dalam rumah, penghuni rumah jangan panik sebaliknya  melihat pergerakan ular tersebut dari jauh bagi membolehkan mereka memaklumkan kedudukan sebenar ular tersebut kepada JPAM," katanya.

Kata Kamalruzamal, bagi mengelakkan ular masuk ke dalam rumah, belerang boleh ditaburkan di sekitar kawasan rumah selain menutup semua lubang seperti lubang paip air dengan menggunakan kain atau batu.

"Pastikan laluan yang boleh digunakan ular untuk masuk ke rumah ditutup dengan rapi. Ular-ular yang ditangkap ini kita akan serahkan kepada Jabatan Perhilitan negeri ataupun melepaskan ia di kawasan hutan yang jauh dari kediaman penduduk," katanya.

Sumber:Sinar harian