MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Padah terikut pengaruh rakan

Gara-gara terikut-ikut dengan rakan, seorang lelaki ditahan dalam Ops Khas Judi Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) di sekitar Bandaraya Alor Setar, di sini, semalam.

 Dalam operasi selama sejam bermula 10.30 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengambil upah mengali dan membersihkan kubur terbabit ditemui dalam keadaan mencurigakan dalam premis tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Bahagian Penguat Kuasa Undang-undang Syariah Jaik, Syeikh Mohd Rasydan A Rahman berkata, lelaki Muslim terbabit memberi alasan baru saja melakukan aktiviti berjudi.

“Dia antara tiga lelaki berusia 50 hingga 69 tahun yang ditahan termasuklah seorang warga emas dalam pemeriksaan di tiga premis judi sekitar Bandar Alor Setar.

“Ketika disoal, lelaki yang masih bujang itu mendakwa dia baru bermain judi sebanyak lima kali dan aktiviti itu dilakukan sekadar untuk keseronokan diri semata-mata,” katanya.

Malah, katanya, lelaki terbabit menafikan dia bermain judi disebabkan kekangan kewangan kerana dia memiliki pendapatan hasil menggali dan membersihkan kubur.

“Sebaliknya, dia mula berjudi dengan membuat pertaruhan nombor ekor selepas melihat kenalan turut sama berjudi, sebelum dirinya terikut-ikut untuk keseronokan diri,” katanya.

Rasydan berkata, mereka bertiga dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, untuk laporan polis sebelum dibawa untuk diambil keterangan ke Bilik Gerakan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jaik.

Beliau berkata, tiga lelaki terbabit disiasat dinbawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 disebabkan berada dalam premis judi ataupun melakukan aktiviti berjudi.

"Orang Muslim perlulah sedar bahawa perbuatan berjudi merupakan satu perkara yang haram dan tidak dibenarkan dilakukan dalam sisi agama Islam," katanya.

Malah, katanya, semua premis judi telah meletakkan papan tanda mengenai judi adalah haram di premis mereka bagi mencegah umat Islam melakukan perbuatan berjudi.

“Janganlah, kita jaga amal ibadat kita ketika bulan Ramadan semata-mata.

"Bagaimanapun, kita melanggar perkara dilarang ALLAH SWT selepas tamat bulan puasa. Dan, ingatlah pastikan rezeki dicari secara halal,” katanya.

- sinarharian