MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Padah lindungi Pati

Tiga penduduk tempatan termasuk pengurus kedai serbaneka antara ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Kedah di Pulau Langkawi, kelmarin.

Bertindak atas maklumat, pegawai  diketuai Penolong Pengarah Imigresen, Nar Azaman Ibrahim melakukan pemeriksaan di enam lokasi berasingan.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, penduduk tempatan termasuk seorang wanita berusia 34 tahun berkenaan ditahan kerana kesalahan melindungi warga asing.

“Seorang wanita tempatan ditahan di sebuah kedai mendandan rambut di Pantai Chenang bersama pekerja lelaki warga Algeria berusia 26 tahun.

“Manakala, seorang lelaki tempatan yang juga pengurus kedai serbaneka dan dua pembantu warga Nepal berusia antara 21 hingga 26 tahun ditahan di Pantai Chenang,” katanya.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan lagi ditahan di restoran makanan laut di Tanjung Mali bersama lapan warga Thailand berusia 17 hingga 28 tahun.

“Dalam operasi di Teluk Baru, Jalan Bukit Malut dan Kuala Temeyong, dekat sini, hanya 53 pekerja binaan warga asing berusia antara 14 hingga 50 tahun di tapak bina itu,” katanya.

Mohamad Yusri berkata, secara keseluruhan pihaknya menahan 64 warga asing dan tiga penduduk tempatan dalam operasi bermula pada jam 11.40 pagi tersebut.

"Tiga penduduk tempatan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1958/63 (Pindaan 2002) kerana melindungi warga asing terlibat.

"Manakala 36 warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala 17 disebabkan melanggar syarat pas lawatan sosial," katanya.

Selebihnya katanya, 11 lelaki warga Indonesia ditahan kerana tinggal lebih masa antara dua bulan hingga dua tahun di Malaysia selepas tamat tempoh pas mereka.

"Kesemua mereka ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit untuk siasatan sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik," katanya.

Sumber:Sinar Harian