MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Mesin ATM diletupkan guna bom paip, RM300,000 lesap

Dengan menggunakan bom paip, tiga lelaki meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000 dalam kejadian di pekan Jitra, di sini hari ini.

Kejadian pukul 5.06 pagi itu menyebabkan pintu peti keselamatan mesin ATM yang berisi wang pe­cah. Turut pecah ialah dinding kaca di sebelah dalam bank berkenaan.

Mesin ATM yang diletupkan itu terletak di tengah-tengah di antara sebuah lagi mesin ATM yang turut rosak serta sebuah mesin deposit tunai (CDM).

Ketua Polis daerah, Superintenden Abd. Rahim Abdullah berkata, rakaman daripada dua kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan dua daripada tiga suspek mula memasuki bank tersebut pada pukul 5.04 pagi.

Menurutnya, mereka membawa senjata kuku kambing besi dan menggunakannya untuk mengopak pintu peti simpanan wang di bahagian bawah mesin ATM tersebut.

“Seterusnya, mereka meletakkan bom paip dengan ukur lilit kira-kira 12.7 sentimeter di tempat yang dikopak, lalu menyalakan sumbu bom itu menggunakan pemetik api.

“Pada pukul 5.06 pagi, bom itu meletup sehingga menyebabkan kedua-dua CCTV rosak. Mereka kemudian melarikan empat katrij wang daripada mesin tersebut yang dianggarkan berjumlah RM300,000,” katanya kepada pemberita di sini.

Abd. Rahim memberitahu, rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua suspek menaiki sebuah kereta Toyota Camry model lama berwarna emas yang diletakkan betul-be­tul di depan bank berkenaan.

Katanya, mereka memakai jaket gelap, topeng ski serta menggunakan sarung tangan.

“Berdasarkan modus operandi, kami tidak menolak kemungkinan suspek merupakan individu sama yang melakukan perbuatan hampir serupa di sebuah bank di Simpang Kuala, Alor Setar pada Februari lalu.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan ke­rana melakukan khianat menggunakan api,” katanya.

Dalam kejadian di sebuah bank di Simpang Kuala, Alor Setar pada 5 Februari lalu, penjenayah terlibat turut melarikan wang berjumlah kira-kira RM300,000 dengan cara dan bom jenis sama.

Bezanya ketika itu, mereka terlebih dulu menyembur cat pada CCTV bagi mengelakkan perbuatan jahat itu dirakam.

Abd. Rahim menjelaskan, seorang saksi memaklumkan ternam­pak kereta suspek melarikan diri ke arah Bukit Kayu Hitam selepas kejadian tersebut.

“Berikutan itu, kami telah menyemak CCTV Tol Jitra dan mendapati kereta dipercayai milik suspek melalui tol tersebut sebanyak dua kali iaitu pada pukul 4.40 pagi serta 5.11 pagi. Mereka juga dilihat turut membeli kad Touch ‘n Go di situ,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pemilik kedai berhampiran yang enggan dikenali berkata, dia terde­ngar bunyi letupan yang sangat kuat ketika bangun bersahur kira-kira pukul 5 pagi.

 

Sumber:Utusan malaysia