MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Masalah bekalan air akan selesai

Bekalan air yang terputus di Kampung Belukar Jambu Dalam, Jalan Naka sejak Disember tahun lalu bakal pulih dalam tempoh terdekat.

Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, loji air di kawasan itu terletak di Naka, Kuala Nerang dan kini sedang dibaik pulih bagi meningkatkan simpanan air di kawasan berkenaan.

Katanya, pertambahan penduduk di kawasan itu menyebabkan Sada terpaksa meningkat simpanan air di loji air Naka.

“Masalah itu akan selesai dalam masa seminggu lagi dan kerja membaik pulih itu bagi tujuan kegunaan pada masa hadapan.

"Bagi penduduk yang masih menghadapi masalah bekalan air mereka boleh menghubungi Sada supaya bekalan air dapat dihantar ke kampung terlibat,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Shazwani Shuhaida Elias, 26, berkata, sebelum ini penduduk di situ hanya mendapat bekalan air pada jam 5 hingga 8 pagi tetapi kini bekalan air terputus terus.

“Aktiviti harian penduduk terjejas hingga ada dalam kalangan penduduk terpaksa membeli air minuman di kedai. Ada  penduduk mengguna perigi usang untuk membasuh tetapi airnya berwarna kemerahan.

“Sebelum ini jika ada masalah air hanyalah sementara sahaja tetapi kali ini agak serius apabila bekalan air terputus langsung,” katanya.

Abu Bakar Abdullah, 61, pula berkata, kegagalan pihak berkenaan membekalkan air kepada penduduk menyebabkan mereka terpaksa mencari pelbagai sumber air bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, penduduk di situ kini terpaksa bergantung kepada air hujan untuk melakukan aktiviti harian.

“Memang ada pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghantar bekalan air tetapi kadang kalanya airnya berwarna kemerahan hingga penduduk bimbang untuk membasuh pakaian putih seperti pakaian sekolah.

“Ketiadaan air itu juga menyebabkan penduduk terpaksa mengangkut air dari luar untuk minum, masak dan membasuh sehingga kenderaan mereka semakin rosak akibat membawa bekalan air dari luar,” katanya.

Sumber:Sinar harian