MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Malang depan bazar Ramadan

Wanita parah di seluruh badan akibat terjatuh dari motosikal ditunggangnya selepas diragut lelaki di hadapan bazar Ramadan di Jalan Kuala Sungai, Alor Janggus.

Dalam kejadian 1.30 petang, Nor Ruzanna Shamsudin, 25, dari Kampung Lubuk Air mengalami kecederaan pada otak, bengkak muka dan luka di tangan serta kaki dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa diragut suspek lelaki tidak dikenal pasti yang turut menunggang motosikal sebelum melarikan diri.

"Mangsa dalam perjalanan dari rumah ke tempat kerja di Tesco Mergong di sini,dengan menunggang bersendirian.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal secara tiba-tiba menghampiri motosikal mangsa sebelum suspek meragut beg yang berada di dalam raga motosikal," katanya.

Katanya, mangsa yang masih belum stabil kini dilaporkan masih mendapatkan rawatan di HSB.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun sehingga mendatangkan kecederaan," katanya.

 

Sumber:mymetro