MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Lebih 10 lokasi dilanda banjir kilat

Lebih 10 lokasi sekitar daerah Kuala Muda dilaporkan dilanda banjir kilat setelah hujan lebat tanpa henti lebih dua sejam bermula kira-kira jam 3 petang, semalam.

Antara lokasi yang terlibat adalah Taman Tiong, Bakar Sampah, Jalan Sungai Pasir ke Batu Lintang, Padang Temusu, Kampung Raja, Jalan Cinta Sayang, Taman Ria Jaya, Amanjaya, Kampung Wat Siam dan beberapa lokasi lain.

Pengunjung sebuah pasar raya, Rasidah Hasan, 42, berkata, dia meletakkan kenderaan di bahagian bawah bangunan pasar raya itu kira-kira jam 2 petang, namun ketika mahu pulang dia mendapati kawasan tersebut dipenuhi air.

“Ketika kami sampai di kawasan letak kereta, kami terkejut melihat air naik hingga ke betis,” katanya.

Manakala, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Leftenan Muda Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan tanpa henti berhubung kejadian itu, semalam.

Menurutnya, jabatan itu menerima laporan banjir kilat di Taman Serindik, Kampung Air Mendidih, Taman Berlian, Taman Desa Jaya, Kampung Haji Wahab, Kampung Raja dan Batu Dua.

"Lebih 30 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kuala Muda dikerahkan ke lokasi yang dilaporkan.

“Tindakan memindahkan mangsa ke lokasi selamat, memindahkan kenderaan, dan mengarahkan mangsa menitikberatkan aspek keselamatan telah dilakukan malah turut mendapat  kerjasama polis serta bomba," katanya.

Beliau berkata, masalah sistem perparitan dan kegagalan pekerja di kawasan pembinaan mengawal kerja tanah menjadi punca banjir berlaku.

Sementara itu, Bilik Gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani memaklumkan, pihaknya menerima panggilan bermula jam 3.18 petang, semalam.

Pegawai bomba diketuai Pemangku Ketua Balai, Fakrul Radzi Bemawi telahpun ke lokasi terbabit bersama jentera dan bantuan bot sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Difahamkan, selepas lebih sejam hujan lebat, paras air yang pada mulanya naik mulai surut di beberapa kawasan.

sumber:Sinar harian