Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, setiap peristiwa itu perlu diketahui dan dihayati oleh penduduk daerah ini agar mereka dapat menghayati perit pedih perjuangan pasukan keselamatan negara suatu ketika dahulu.

“Tragedi serang hendap ke atas anggota tentera yang berlaku pada 29 Oktober 1981 masih segar dalam ingatan anggota yang terlibat dan perlu menjadi iktibar kepada gene­rasi hari ini.

“Kenanglah sejarah pahit itu, demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta, mereka sanggup bergadai nyawa berkorban membela nusa dan bangsa,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Tugu Peringatan dan Pelancaran Buku Peristiwa Serang Hendap Ulu Legong di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, hari ini.

Majlis tersebut diadakan sebagai mengenang kejadian serang hendap berkenaan yang menyebabkan seramai tujuh anggota Batalion 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terbunuh manakala dua orang lagi cedera parah.

Anggota-anggota tersebut di­se­­­­rang hendap oleh sekurang-kurangnnya 30 pengganas komunis yang bersembunyi di atas bukit yang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah trak yang dinaiki sembilan anggota terbabit.

Ketika itu, mereka dalam perjalanan untuk mengambil bekalan makanan di Kampung Lalang.

Kata Abdul Azeez, jasa dan bakti para perajurit yang mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja.

“Tanpa pengorbanan dan perjuangan mereka, tidak mungkin kita akan berada dalam keadaan selesa seperti hari ini,” kata Abdul Azeez.

Sementara itu, salah seorang mangsa serang hendap, Md. Said Adam, 55, yang cedera parah ketika kejadian serang hendap itu berkata, kejadian tersebut merupakan tragedi hitam yang tidak akan dilupakan.

“Saya berpesan kepada generasi muda, hargailah keamanan yang dikecapi pada masa sekarang kerana ia adalah hasil pengorbanan kami dan mereka yang terlibat menjaga keamanan di negara ini.

“Jagalah tanah air ini daripada serangan musuh yang sentiasa ada di mana-mana sahaja, pertahankan maruah negara ini dan kekalkanlah keamanan ini demi kesinambungan dan kesenangan cucu-cicit kita pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Sumber:Utusan malaysia