MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Kedah Cadang Bina Empangan Untuk Atasi Krisis Bekalan Air

Kerajaan Kedah merancang untuk membina sebuah lagi empangan di Kampung Paya Serdang, Pendang bagi mengatasi masalah bekalan air di negeri itu, pada masa depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata projek yang dianggar bernilai RM650 juta itu, dijangka dapat mengatasi pelbagai masalah bekalan air akibat daripada pertambahan penduduk, kawasan perumahan baharu, keperluan sektor perindustrian dan pelancongan.

Beliau berkata proses rundingan dan perbincangan telah dilakukan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah bersama kementerian bertanggungjawab, bagi memastikan projek pembinaan empangan yang dikenali sebagai Empangan Naok itu, diluluskan.

“Kita juga bercadang untuk menaik taraf satu lagi empangan iaitu Empangan Sari di Padang Terap dengan meningkatkan jumlah takungan air di empangan itu untuk menampung permintaan rakyat,” katanya pada sidang media selepas tamatnya Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Semasa persidangan DUN hari ini, Ahmad Yahya (PAS-Alor Mengkudu) mengusul agar dibincangkan mengenai masalah bekalan air di Kedah yang dikatakan semakin meruncing kini.

Ahmad Bashah berkata projek pembinaan terusan Jeniang Transfer sepanjang 23km yang akan bermula dalam tempoh terdekat ini, dijangka mampu mengurangkan pengaliran keluar air dari Empangan Beris terus ke Pulau Pinang, yang agak merugikan rakyat negeri ini.

Beliau berkata ketika ini berlaku pengaliran air yang begitu banyak ke Pulau Pinang yang tidak dapat diguna sepenuhnya oleh masyarakat tempatan untuk tujuan domestik, perindustrian dan pertanian.

Ahmad Bashah ketika menggulung usul berkenaan turut mencadangkan agar lombong pasir dijadikan kolam takungan bagi memastikan sumber air dapat terus dibekalkan kepada rakyat.

“Kalau kita tak lakukan perancangan untuk tambah empangan dan kolam takungan baharu menyebabkan akan berlaku krisis air yang serius pada masa depan,” katanya.

Kedah mempunyai lima empangan untuk kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian iaitu Empangan Muda, Pedu, Ahning, Beris dan Malut.

Persidangan sehari itu akan bersambung pada satu tarikh lain.

Sumber:mynewshub