MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Kantoi bawa daun ketum, ubat batuk

Dua nelayan warga Thailand ditahan selepas didapati membawa daun ketum dan ubat batuk ketika diperiksa anggota peronda Maritim Pangkalan Kuala Kedah berdekatan 3.0 Batu Nautika Barat dari Pantai Kuala Kedah di sini, semalam.

Ketika ditahan kira-kira jam 2.30 pagi itu, daun ketum seberat dua kilogram (kg) daun ketum dan 10 botol ubat batuk itu dipercayai dibawa untuk kegunaan mereka sendiri.

Ketua Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, siasatan mendapati dua nelayan Thailand berkenaan masing-masing dipercayai berusia 19 dan 28 tahun.

"Mereka juga didapati tidak memiliki permit kerja sebaliknya hanya memiliki dokumen memasuki negara.

“Malah, bot yang dinaiki mereka juga tidak memiliki lesen dan permit kerja berdasarkan Akta Perikanan 1985,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas nelayan terbabit mendapati mereka bukanlah pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana memiliki dokumen dan hanya tiada permit kerja.

Namun begitu, Ahmad Kamal berkata, kedua-dua nelayan berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Mereka dan barang yang dirampas dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sumber:Sinar harian