MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Isu tahfiz: Minta derma sampai Selangor

Ada sebilangan pelajar sebuah pusat pengajian yang beroperasi di sini didakwa meminta derma dengan alasan menjalani latihan praktikal perniagaan sehingga ke Lembah Klang, Selangor.

Sambil membawa surat, kelibat remaja lelaki berusia dalam lingkungan 17 tahun dilihat berlegar-legar di kedai makan sekitar Lembah Klang, kira-kira jam 4 petang, Ahad lalu.

Menurut sumber, pelajar itu disyaki sudah berada di sekitar kawasan ini sejak beberapa hari lalu bagi mengutip derma.

Menurutnya, pelajar itu memaklumkan dia meminta derma bagi mengumpul dana untuk satu program khas kokurikulum dikenali sebagai Kelab Usahawan Muda pelajar pusat pengajian berkenaan di sebuah negeri di utara.

Dalam surat itu, tercatat bahawa program berkenaan mendapat pengetahuan ibu bapa dan waris pelajar, malah turut mendapat kebenaran melaksanakan program praktikal.

Manakala, hasil dana diperoleh akan dimasukkan ke dalam tabung pertubuhan pusat pengajian didakwa untuk menampung keperluan pelajar dan pengurusan sekolah.

Tambah sumber, surat itu juga menyatakan wang diterima hasil jualan amal akan diagihkan kepada anak yatim, anak ibu tunggal dan anak fakir miskin dalam golongan tidak bernasib baik.

Dalam surat kedua, beberapa kepingan gambar kantin, asrama, bilik darjah, surau dan guru dipaparkan untuk meyakinkan penderma.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani berkata, beliau kesal melihat pelajar itu diminta berbuat sedemikian.

Menurutnya, meskipun pelajar berkenaan didakwa membantu sekolah mengutip dana untuk tujuan hari kokurikulum, namun mereka tidak wajar diperlakukan sedemikian rupa.

“Pelajar seharusnya diberi rehat atau belajar pada hari cuti sekolah, bukannya meminta sedekah.

“Pelajar didakwa melakukan jualan amal untuk tujuan kokurikulum, namun hakikatnya mereka meminta derma daripada orang awam,” katanya.

 

Lebih mengejutkan katanya, pelajar itu tidak melakukan jualan amal di negeri sendiri, tetapi bergerak hingga ke Selangor.

“Situasi ini dilihat sebagai eksploitasi tidak sihat. Sepatutnya kita kena tahu bezakan antara keutamaan pendidikan dan latihan keusahawanan,” katanya.

Katanya, dia berharap masyarakat dapat memberi perhatian serius berhubung isi ini, sekali gus mencari jalan agar ia tidak berterusan pada masa akan datang.

“Pihak terbabit perlu diberi kesedaran agar tidak menggunakan agama untuk mencapai tujuan mereka sehingga mengajar pelajar menjadi peminta sedekah.  

“Jika sekolah itu memerlukan dana untuk hari kokurikulum, ia boleh dilakukan melalui kaedah lain seperti juala kupon hari kantin dan sebagainya,” katanya.

Pada 2014, Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) ‎ mengeluarkan notis tutup kepada sebuah pusat tahfiz sekali gus menghentikan operasi mereka.

Difahamkan, nama pusat tahfiz berkenaan menjadi ‘panas’ apabila pelajar sekolah dikatakan melakukan kutipan derma, namun wang berkenaan didakwa digunakan seorang individu untuk hidup mewah.

Sumber:Sinar harian