MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Isu simbol salib cubaan wujud ketegangan agama

Isu bahagian bumbung rumah yang kelihatan seperti simbol salib di Langkawi yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini adalah cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan ketegangan agama di negara ini.
 
Ahli Parlimen DAP-Segambut, Lim Lip Eng berkata pihak yang menyebarkan gambar tersebut mempunyai masalah penglihatan sehinggakan tidak dapat membezakan simbol salib dan struktur binaan.
 
Jelasnya, struktur berkenaan kelihatan seperti simbol salib hanya disebabkan sudut penglihatan semata-mata.
 
“Mereka yang cuba besarkan isu ini dilihat mempunyai agenda tersendiri sehinggakan sanggup memperbesarkan perkara sedemikian.
 
“Saya juga ada baca di Facebook yang mengatakan bahawa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga ada seolah-olah simbol salib.
 
“Jadi takkanlah disebabkan dakwaan seperti itu kita kena robohkan KLIA disebabkan ada pihak mendakwa wujud simbol salib. Ini memang nak cari pasal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kedah mahu pemaju sebuah syarikat perumahan di Langkawi memperbetulkan semula struktur binaan pada bahagian bumbung rumah yang kelihatan seperti simbol salib supaya ia tidak menjadi isu yang berlarutan.
 
Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, Datuk Tajul Urus Mat Zain memandang serius perkara itu dan berharap pihak berkenaan dapat memberi kerjasama sewajarnya.
 
“Saya minta pemaju syarikat perumahan berkenaan lihat semula masalah ini supaya tidak nampak lagi bentuk seolah-olah salib pada bahagian bumbung rumah.
 
“Saya tidak mahu ia dipanjangkan kerana ia isu sensitif melibatkan keagamaan. Pemaju perumahan harus pastikan ia dapat diperbetulkan semula,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
 
- therakyatpost.com