MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Isu ketum terus jadi perhatian

Bacaan kali kedua cadangan meletakkan ketum dalam senarai dadah berbahaya dipercayai akan dilakukan secepat mungkin selepas ia ditangguhkan sebelum ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Azizan Ariffin berkata, bagaimanapun prosesnya bakal mengambil masa memandangkan tiada bukti saintifik menunjukkan ketum berbahaya.

“Masalahnya, ada pengguna menyalahgunakan daun ketum dengan mencampur-adukkan ia dengan bahan lain sekali gus meningkatkan kandungan bahan dan berbahaya.

“Malah, kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan untuk merangka balik strategik membentangkan semula isu ketum di parlimen,” katanya.

Menurutnya, ada tidak bersetuju ketum diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya dalam perbahasan pertama, kerana mereka bimbang individu memiliki boleh dikenakan hukuman.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kementerian sudah pun diarahkan mengkaji semula aspek berkaitan untuk bacaan semula di parlimen nanti.

"Penggunaan ketum dalam kalangan pengguna khususnya pelajar membimbangkan apatah lagi mereka menggunakan taktik tertentu untuk menutup perbuatan mereka.

"Ada pelajar dikesan meletakkan air ketum ke dalam botol minuman tertentu sehingga menyukarkan ibu bapa mengesan pengambilan air ketum dilakukan mereka," katanya ketika ditemui dalam kunjungan hormat program Jelajah AADK bersempena Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2016 ke Wisma Darulaman, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah AADK Kedah, Mohd Nazer Mustafa.

Manakala Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, Kedah antara negeri lantang bersuara mengenai isu ketum bagi mengekang penyalahgunaan tanaman itu.

"Pengambilan air ketum dikhuatiri merosakkan kesihatan pengguna, apatah lagi ia dicampuradukkan bahan tertentu meskipun ada pihak mendakwa ia boleh digunakan dalam perubatan.

“Jikalau ia dikatakan memiliki fungsi dalam perubatan seharusnya penggunaan ketum diketatkan untuk tujuan kajian dan bidang perubatan semata-mata,” katanya.

Menurutnya, langkah mengehadkan dan kawalan ketum perlu dilaksanakan berbanding membiarkan penduduk kampung mengambil air ketum tanpa batasan setiap hari.

"Usaha diambil pihak AADK dilihat membuahkan hasil apabila beberapa pengusaha ladang ketum sudah menukarkan ia kepada tanaman lain," katanya.

Terdahulu, Azizan menyerahkan buku GIS Kawasan Berisiko & Perancangan Strategik AADK 2015-2020 kepada Dr Leong di Bilik Mesyuarat Exco, Wisma Darul Aman.

Sumber:Sinar harian