MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Harap permohonan dalamkan telaga lulus

Sepasang suami isteri yang hanya menggunakan bekalan air telaga selama 16 tahun berharap pihak berkenaan meluluskan permohonan untuk mendalamkan telaga di kediaman mereka di Kampung Sungai Senang Bawah Mukim Sok Jeneri di sini.

Naszulkarnaen Nyan, 39, berkata, dia tidak mampu menggunakan bekalan air yang disediakan pihak berkenaan berikutan hasil pendapatan kerja kampung tidak seberapa.

Menurutnya, pemasangan kemudahan bekalan air paip memerlukan kos yang tinggi kerana perlu menyediakan beberapa kemudahan asas terlebih dahulu.

“Sebelum ini saya pernah membuat permohonan kepada pihak berkenaan bagi mendalamkan telaga di rumah sejak 2008, namun tidak berhasil.

“Kami perlu dalamkan telaga untuk dapatkan bekalan air lebih bersih dan mencukupi, telaga sedia ada tidak berapa dalam,” katanya yang turut mengalami sakit pinggang kesan kemalangan.

Naszulkarnaen berkata, mereka juga terpaksa berjimat cermat terutamanya ketika musim kemarau ini kerana bekalan air berkurangan.

Tambahnya, sekiranya banjir, dia dan isteri, Mazni Rambli, 39, terpaksa menapis air telaga selama dua hari berturut-turut bagi menghilangkan warna selut dan kelodak sebelum digunakan untuk urusan harian.

Mazni berharap masalah yang dihadapi mendapat perhatian pihak berkenaan.

Bagi yang ingin memberikan bantuan kepada keluarga ini boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0714 3410 0003 5099 atas nama Mazni.

Sumber:Sinar harian