MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Enam tahun sara keluarga dengan rezeki 'runner'

Seorang bapa kepada empat anak mampu membuang sifat pemalu sebelum tampil dengan personaliti berbeza bersesuaian dengan kerjayanya sebagai penghantar barang atau ‘runner’ sejak enam tahun lalu sebagai sumber pendapatan keluarga.

Itulah yang cuba dibuktikan Mohammad Hafizi Hasdi, 27, dari Kampung Buluh Penyumpit, Mukim Kuah, di sini, apabila mencipta nama menerusi perkhidmatan dikenali ‘Service Runner CTZ’ (SR CTZ) di seluruh pulau peranginan itu.

Bermula dengan membeli barang untuk rakan dengan upah seikhlas hati, SR CTZ kian dikenali penduduk yang memerlukan bantuan membeli barang keperluan, menghantar pakaian ke kedai dobi, membeli makanan, membayar bil dan memasukkan wang ke akaun bank.

Sebut saja perkhidmatan yang diperlukan, bapa kepada empat anak berusia antara 24 hari hingga 13 tahun ini bersedia memberikan perkhidmatan dengan bayaran setimpal dan berpatutan.

Mohammad Hafizi berkata, dia mula menceburi bidang ‘runner’ selepas memiliki sebuah motosikal walaupun pernah menjadi pemandu lori dan peniaga e-dagang.

“Idea menjadi penghantar barang timbul selepas membaca catatan seorang pemuda dari Kuala Lumpur yang menawarkan perkhidmatan sama dalam laman sosial Facebook, akhir tahun lalu.

“Saya terpanggil untuk ceburi bidang ini dan pada masa sama boleh mendapatkan rezeki tambahan bagi menyara keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, selepas tiga minggu menceburi bidang itu, dia makin bersemangat kerana jumlah permintaan bagi perkhidmatan ditawarkan menerusi laman sosial Facebook bertambah setiap hari.

“Upah yang diterima juga berpatutan... paling sikit saya dapat RM2 untuk sekali penghantaran dan paling banyak pula adalah RM70.

“Ketika pelanggan tanya upah, saya beritahu biar lepas duit minyak motosikal cukuplah dan tidak pernah menetapkan jumlah,” katanya yang menerima tiga hingga empat tempahan perkhidmatan sehari.

Mohammad Hafizi berkata, perkhidmatan SR CTZ yang ditawarkannya bermula dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam kecuali Selasa dan Jumaat, perkhidmatan bermula pada jam 10 pagi.

“Setakat ini, perkhidmatan SR CTZ dilakukan secara separuh masa selepas tamat kerja kerana saya masih bekerja tetap dengan sebuah syarikat pembekal barangan sejuk beku.

“Jika semua berjalan lancar saya bercadang membuka syarikat perkhidmatan ‘runner’, namun mahu mengutip pengalaman dulu,” katanya.

Katanya, sikap amanah dan jujur penting bagi mereka yang berhasrat menjadi ‘runner’ yang baik, sekali gus mendapat kepercayaan orang ramai.

 

Sumber:mymetro