MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Enam feri penumpang nyaris terbakar

Enam buah feri penumpang yang diparkir di Jeti Pelancongan Pekan Rabu nyaris dijilat api, apabila salah sebuah daripadanya terbakar.

Pegawai Bomba Tinggi, Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Mohd Zabidi Che Teh berkata, bagaimana pun, kebakaran hanya melibatkan sebuah feri penumpang berkapasiti 500 orang yang sedang dalam pembaikan, manakala lima buah feri yang diparkir bersebelahan berjaya diselamatkan.

“Jentera bomba terima panggilan berhubung kejadian pada 10.18 pagi, dan tiba di lokasi lapan minit kemudian. Jarak antara balai bomba dan jeti hanya lima kilometer, menyebabkan api dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh 12 minit,” katanya, ketika dihubungi.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati, feri penumpang terbabit rosak dan kebakaran dikatakan bermula dari bahagian tingkat pertengahan sebelum merebak ke bahagian kokpit kapten.

"Kita bersyukur tiada mangsa dalam kebakaran ini, hanya melibatkan kemusnahan 30 peratus bahagian feri,” katanya.    

Mohd Zabidi berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Ini merupakan kes kedua dalam tempoh kurang sebulan, melibatkan feri penumpang yang sedang dibaiki terbakar. Kali pertama pada 23 Mac lalu, ketika feri terbabit diparkir untuk selenggaraan di Pelabuhan Langkawi, Tanjung Limbung, Bukit Malut.

Sumber:Utusan malaysia