MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Data syarikat vendor mudah diceroboh

Sebuah syarikat vendor yang dilantik Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menguruskan pas lawatan sementara kepada majikan yang menggaji pekerja asing dipercayai tidak mempunyai sistem keselamatan data yang ketat dan mudah diceroboh.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia, Lt Kol (H) Che Hassan Che Johan pada sidang media di sebuah hotel di pusat bandar, di sini, semalam.

Menurutnya, perkara itu dapat dibuktikan dengan penemuan beberapa dokumen apabila tandatangan pengarah sebuah syarikat dipercayai dipalsukan.

“Saya dapati keselamatan syarikat vendor tidaklah begitu ketat dan terlalu longgar apabila orang yang tidak berkenaan di syarikat itu boleh menceroboh data syarikat kita dengan memberi dokumen palsu.

“Saya ada surat-surat asal dan palsu yang saya dapatkan sendiri dari pejabat vendor berkenaan. Selain tandatangan pengarah dipalsukan, nama-nama untuk menjalankan urusan dengan vendor ini juga ditokok tambah tanpa pengetahuan pihak syarikat,” katanya.

Menurutnya, satu laporan juga telah dibuat syarikat berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur pada 29 Januari lalu selepas menyedari berlaku pemalsuan dokumen untuk mendapatkan permit pekerja asing dari pihak syarikat vendor berkenaan.

“Kita akui majikan tidak boleh simpan pasport asal pekerja, tapi pekerja berkenaan ambil kesempatan dengan mencari ejen tidak bertauliah untuk kerja-kerja sedemikian.

“Kerajaan telah pun memberi kontrak kepada syarikat berkenaan untuk menguruskan pendaftaran pekerja asing yang bermula hari ini (semalam). Soalnya, apakah kita masih boleh mempercayai syarikat vendor ini dengan bukti yang ada,” katanya.

Tegasnya, syarikat vendor berkenaan terbukti tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan apabila sistem data mudah diceroboh.

“Apabila pekerja asing didaftarkan, macam-macam boleh berlaku. Mungkin syarikat itu boleh daftar sampai 50 orang dan akan ditokok tambah sehingga 100 orang.

“Ditambah pula dengan hasrat kerajaan nak dibawa masuk seramai 1.5 juta pekerja asing. Ini bukan soal nak bawa masuk 3D (kotor, sukar, berbahaya). Kalau kita nak 3D, kita perlu banci dan pastikan berapa syarikat yang memerlukan,” katanya.

Che Hassan berkata, kebiasaannya permohonan pekerja asing akan dibuat melalui atas talian dan perkara itu tidak dinafikan memberi keuntungan kepada vendor .

“Ia akan merumitkan juga kerana dari segi keselamatan, kalau majikan mohon 50 pekerja asing, sudah pasti ia akan ditokok tambah sebanyak 70 pekerja asing. Esok kalau pekerja itu lebih 20, ia akan bercambah juga menjadi pendatang tanpa izin.

“Pada saya, golongan belia tidak perlu dicabar untuk menjalankan kerja-kerja dalam bidang 3D kerana kita tahu sejak sekian lama kemasukan pekerja asing adalah untuk mengisi kekosongan kategori ini,” katanya.

Tegasnya, adalah lebih wajar sekiranya kerajaan memberi tumpuan kepada soal 3D.

“Kita tidak mahu 3D ini dijadikan matlamat untuk membawa masuk seramai 1.5 juta pekerja asing.

“Saya terkejut apabila membaca laporan akhbar tempatan yang menyebut proses pendaftaran dikenakan bayaran RM800 dan RM400 bayaran lain selepas proses itu diluluskan.

“Saya minta pihak berkenaan perjelaskan perkara ini apakah vendor ini tanpa bekerja, hanya membekalkan satu sistem dengan mengambil keuntungan sebanyak itu.

“Sedangkan kerja-kerja lain diberikan kepada pegawai-pegawai imigresen. Kita tahu vendor-vendor ini dapat untung, tapi biarlah untung itu berpatutan. Jangan memaksa rakyat dan majikan susah,” katanya.

Sumber:Sinar harian