MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Cekal lawan sakit jawab SPM

Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengidap penyakit kanser tulang kaki dan ketumbuhan pada muka cekal melawan kesakitan dialami untuk menduduki peperiksaan penting itu yang bermula semalam.

Muhammad Amirundin Abdullah, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik menghidap kanser tulang kaki kanan pada tahap empat dan ketumbuhan serius pada muka kanan sejak kecil.

Menurutnya yang juga anak sulung dari empat beradik itu, walaupun sakit namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk bersama rakan menduduki peperiksaan berkenaan.

“Sebelum ini ada juga guru minta tangguhkan dulu peperiksaan sehingga rawatan penyakit selesai tetapi saya tolak kerana memikirkan masa depan.

“Mungkin persediaan saya tidak seperti rakan lain tetapi cuba lakukan yang terbaik kerana turut mengikuti kelas sepanjang berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Muhammad Amirundin yang tinggal bersama keluarga angkat di Taman Sri Tanjong, Tanjong Bendahara berkata, pembedahan ketumbuhan pada mukanya itu terpaksa dilakukan pada Januari tahun depan bagi membolehkannya menduduki SPM.

Sementara itu, Pembantu Pengurusan Murid SMK Tunku Abdul Malik, Haslinda Ibrahim berkata, pihak sekolah turut menghantar nota penting kepada Muhammad Amirundin bagi memudahkannya mengulang kaji pelajaran supaya tidak ketinggalan.

Menurutnya, pihak sekolah sering menghubungi ahli keluarganya bagi mengikuti perkembangan pelajar itu ketika menjalani rawatan di HUSM.

“Pihak sekolah mahu dia tangguh dan ambil SPM tahun depan tetapi dia tetap bertegas mahu mendudukinya tahun ini. Memang dia bersemangat untuk ambil peperiksaan itu walaupun dalam keadaan sakit,” katanya.

Muhammad Amirundin antara 35,524 calon di Kedah yang menduduki peperiksaan SPM di 279 pusat peperiksaan yang bermula semalam.

Sumber: Sinar harian