MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Cari waris bayi berusia dua bulan

Seorang tukang jahit di Bukit Chong, Merbau Pulas, sedang mencari waris seorang bayi berusia dua bulan yang ditinggalkan ibu kandungnya sejak 21 Februari lalu.

Menurut Rogayah Ismail, 40, bayi yang diberi nama Intan Nur Zahra itu diserahkan seorang perempuan berusia lingkungan 20an yang datang ke rumahnya.

“Ketika itu hanya tinggal saya seorang di rumah tengah siapkan tempahan baju orang. Tiba-tiba ada orang bagi salam, saya nampak seorang perempuan memegang bayi yang dibalut kain berwarna merah jambu.

“Dia minta saya jaga bayinya dalam tempoh seminggu kerana ada hal. Saya agak tergamam dan terkejut terus mengambil bayi tersebut,” katanya pada sidang media.

Katanya, perempuan itu  juga sempat memintanya menjaga bayi tersebut sekiranya dalam tempoh seminggu tidak dituntut.

“Dia minta saya jaga kalau dia tak datang ambil. Bayi ini diserahkan kepada saya sehelai sepinggan saja. Saya pun tak mengesyaki dia nak tinggalkan terus di sini.

“Saya juga sempat bertanya bila dia lahirkan bayi tersebut, katanya pada 17 Februari lalu iaitu hanya kira-kira lima hari sebelum diserahkan kepada saya,” katanya.

Malah, katanya dia hanya memikirkan tindakan menerima bayi tersebut selepas perempuan itu beredar menaiki motosikal.

“Saya tak kenal langsung, mungkin kerana terkejut dan kasihan melihat wajah bayi itu, saya tak sempat bertanya lanjut kepada ibunya,” katanya.

Rogayah berkata, selepas seminggu, ibu Intan Nur Zahra tidak kembali menuntutnya dan dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Karangan pada 1 Mac lalu.

Adik iparnya, Noramiza Mustafa, 34, berkata, dia ingin menjaga bayi tersebut sekiranya tidak dituntut warisnya.

“Sudah sembilan tahun saya berkahwin, tapi masih belum dikurniakan anak, kalau tak ada waris tuntut saya akan jaga dia sehingga besar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Khozali berkata, sesiapa yang mengenali ibu bapa kepada bayi berkenaan diminta menghubungi JKM segera.

“Kita bagi tempoh sehingga 11 April ini sebelum ia dibawa ke mahkamah bagi kanak-kanak pada 12 April ini untuk memberi hak penjagaan sementara,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pelindung JKM Kulim, Regina Shaari di talian 04-4907403.

Sumber:Sinar harian