MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Berhenti menoreh demi jaga isteri

Atas dasar kasih sayang, seorang suami sanggup berhenti menoreh getah yang juga pendapatan utamanya, bagi menjaga isterinya yang hampir sembilan bulan terlantar sakit di rumah.

Azhar Salleh, 51, berkata, isterinya, Sarinah Mat Yusof, 49, yang disahkan mengalami jangkitan kuman dalam otak menyebabkan dia tidak mampu menguruskan diri.

Menurutnya, isterinya yang sebelum ini hidup normal terpaksa bergantung kepada pertolongan orang lain untuk segala aktiviti harian.

“Isteri saya mula dijangkiti kuman selepas diserang demam panas pada Julai tahun lalu. Saya perlu sentiasa ada di sisi untuk menguruskannya, adakala dibantu seorang anak.

“Sebelum kejadian, isteri ada mengadu sakit kepala dan kemudiannya terus demam panas, keesokan harinya isteri tidak dapat bercakap seperti biasa dan saya segera membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Dalam Wang, di sini, semalam.

Kata Azhar, insan terpenting dalam hidupnya itu turut bergantung kepada tiub saluran untuk makan dan membuang air kecil ketika ditahan selama sembilan hari di hospital tahun lalu.

Menurutnya, isterinya juga tidak berupaya untuk mengingati kenalannya yang datang menziarahinya di rumah.

Tambahnya, pihak hospital memaklumkan kesan daripada jangkitan kuman itu isterinya hampir terkena serangan strok otak kerana tanda-tanda serangan itu sudah dikesan.

“Saya dapat tahu makluman itu sewaktu menghantar isteri ke Hospital Sungai Petani pada 26 Januari lalu,” katanya.

Azhar yang juga mengambil upah menoreh di kebun orang lain dengan jumlah pendapatan tidak menentu turut menanggung lima anak dengan tiga daripadanya sedang menuntut di universiti awam, seorang masih belajar di tingkatan empat di sebuah sekolah berasrama dan seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, ketika ini dia menggunakan wang simpanannya bagi menyara keluarga termasuk menanggung kos rawatan isterinya sebelum ini.

“Ada juga ahli keluarga lain dan kawan-kawan yang datang bantu saya. Dalam masa sama isteri juga terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling,” katanya.

Bagi mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke  akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 02005-41-00008023-8 atas nama Azhar atau menghubunginya di talian 019-4583819.

Sumber:Sinar harian