MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Anak kini dekat di sisi

“Keprihatinan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memahami masalah guru amat dihargai dan bersyukur kerana permohonan mengajar di Terengganu diambil perhatian,” kata Wan Nurul Izza Wan Mokhtar, 29, antara guru yang dibenarkan untuk bertukar tempat kerja bagi sesi persekolahan tahun ini.

Menurutnya, sebelum ini, dia mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abdul Samad, Tanjung Ipoh di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sejak Julai 2014 dan berpindah ke SMK Sultan Mansor, di sini, bermula Januari lalu.

“Saya memohon pertukaran berikutan keadaan kesihatan anak, Qisya Qaisara Mohammad Nazdy, 2, yang menghidap penyakit jantung.

“Saya mula meninggalkan anak sejak dia berusia 10 bulan bersama suami, Mohammad Nazdy Harun, 35, dan keluarganya di Kuala Ibai apabila ditugaskan mengajar di Kuala Pilah sebaik menamatkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak.

“Bukan saya tidak mahu membawanya tinggal bersama di Kuala Pilah, tetapi saya tidak yakin dapat menjaganya dengan baik memandangkan saya tinggal seorang diri dan terpaksa meninggalkan anak bersama suami yang bekerja di Kuala Terengganu,” katanya yang sudah enam kali membuat permohonan pertukaran.

Menurutnya, pada awalnya, dia hanya pulang ke kampung setiap dua minggu sekali, namun jarak dan faktor kewangan menyebabkan dia hanya pulang ke kampung sebulan sekali.

Katanya, dalam tempoh itu juga, suaminya akan datang mengambilnya dan terpaksa membelanjakan kira-kira RM500 setiap kali mereka pulang ke kampung.

Wan Nurul Izza berkata, selain kasihan melihat suami yang terpaksa berulang-alik, ia turut membabitkan kos yang tinggi dan menyebabkan dia terpaksa memohon untuk berpindah.

“Anak saya juga mempunyai jadual berkala untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital di Terengganu dan agak sukar jika dia bersama saya untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, langkah kementerian yang memberi perhatian sewajarnya terutama kepada guru yang menghadapi masalah berkaitan berjauhan daripada keluarga memang wajar diberikan pujian.

Sumber:mymetro