MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Amanat 100 hari pentadbiran

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah hari ini melancarkan Amanat 100 Hari Pentadbiran Menteri Besar dengan menggariskan lebih 27 agenda khusus membabitkan hala tuju kerajaan negeri ke arah pembangunan Kedah.

Berpaksikan konsep Muafakat Kedah, menurut Ahmad Bashah, pelbagai dasar yang diperkenalkan bukan sahaja menjadi pelan gerak kerja untuk dua tahun sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang tetapi memetakan perjalanan Kedah dalam jangka panjang.

Sehubungan itu katanya, tiga fokus menjadi keutamaan dasar kerajaan negeri yang boleh dicapai secara realistik.

“Pertama, agenda memenuhi keperluan anak muda, termasuklah peluang pekerjaan, latihan, rekreasi, gilapan potensi dan minat.

“Keduanya, merencana peluang pendapatan tambahan untuk rak­yat selain mensejahterakan keper­luan hidup mereka dan yang ketiga, membangun modal insan sebagai pewaris masa depan negeri de­ngan tumpuan diberi terhadap dua bidang iaitu pendidikan agama dan juga sahsiah diri melalui semangat kesukarelaan dan jati diri,” katanya ketika melancarkan majlis ber­kenaan yang turut dihadiri barisan Exco serta lebih 2,000 jemputan di Dewan Seri Negeri Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Dalam jangka panjang pula katanya, dua misi khusus ditetapkan iaitu memacu ekonomi dan juga membentuk keadilan sosial dalam kalangan kaum.

“Ia merupakan satu polisi yang perlu dijana secara konsisten, melalui perancangan teliti dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Tambah beliau, ke arah pembangunan ekonomi negeri, kerajaan negeri memberi jaminan akan melaksanakan projek mega yang dirancang seperti Bandar Raya Getah di Padang Terap yang menerima peruntukan kerajaan sebanyak RM417 juta dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam bernilai RM78 juta.

“Ini menjadikan ekonomi setempat menerima kesan limpahan dengan manfaat untuk semua. Projek berskala besar seperti KXP, Kedah Aerocity dan Taman Warisan Lembah Bujang akan diteruskan.

“Begitu juga dengan ranca­ngan pembinaan litar lumba rakyat yang dimuktamadkan tahun ini akan dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau, empat elemen muafakat yang digariskan untuk menjadi amalan dalam pentadbiran kerajaan negeri ialah Muafakat Sosial dan

Kemasyarakatan, Muafakat Pen­tadbiran, Muafakat Ekonomi dan Muafakat Politik.

“Dasar pentadbiran yang diguna pakai untuk semua baik pejabat Menteri Besar, Exco dan seluruh agensi serta jabatan kerajaan di Kedah mesti berpaksikan ‘merakyatkan perkhidmatan’ dan mendemokrasikan pentadbiran. Jangan ada banyak kerenah birokrasi, syarat yang menyusahkan dan khidmat diberikan kepada rakyat mestilah bersifat ‘kasual’,” tambah beliau.

Pada majlis yang sama, Ahmad Bashah turut mengumumkan beberapa insentif untuk rakyat ne­geri ini termasuk khidmat percuma Wifi yang boleh diakses di tempat tumpuan awam dengan dimulakan di Taman Jubli Emas sebelum diperluaskan ke kawasan lain.

“Aplikasi Kedah Apps turut dilancarkan secara rasmi pada hari ini yang memaparkan informasi tentang aktiviti saya dan seluruh Exco. Selain sebarang aduan berhubung pelbagai isu boleh di­salurkan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas itu kata Ahmad Bashah, pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa induk untuk memastikan semua agenda yang dirancang dilaksanakan.

“Banyak yang perlu dibuat namun saya yakin hubungan baik bersama pegawai tadbir negeri (KCS) kita akan laksanakan apa yang dibawakan dalam amanat itu,” katanya.

 

 

 

Sumber:Utusan Malaysia