MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

Air mata gembira Anis Hamira

Hati ibu mana tidak keruan melihat anak bongsu, Anis Hamira Husna Md Yusof, 9, penghidap kanser otak menitiskan air mata gembira apabila hasratnya menyambut ulang tahun kelahiran bersama rakan sekolah dimakbulkan.

Noor Aiza Abd Razak, 41, dari Kampung Sungai Limau Dalam, Yan sayu melihat reaksi anaknya, yang  lumpuh sebelah kiri mengalirkan air mata apabila dibawa bertemu rakan sekelas Tiga Nilam, Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Yan.

Menurut Noor Aiza, rindu Anis Hamira terhadap suasana di bilik darjah dan keriuhan rakan sekelas setelah lima bulan tidak berkunjung ke sekolah terubat apabila dia dan suami, Md Yusof Yahya, 51, membawanya ke sekolah bagi menyambut ulang tahun kelahirannya.

“Alhamdulillah, hasratnya nak ke sekolah tercapai dengan bantuan guru serta pihak sekolah.

“Memang tidak disangka-sangka dia mengalirkan air mata, kemungkinan untuk meluahkan perasaan terlalu gembira. Biarpun dia tidak boleh bergerak dan bercakap, namun dari air matanya mentafsirkan segala-galanya,” katanya.

Katanya, Anis Hamira seorang yang kuat semangat dan bermotivasi tinggi, biarpun menderita kesakitan, namun jarang melihat dia mengalirkan air mata, namun kegembiraan itu adalah hadiah paling bermakna buatnya sempena Hari Ibu semalam.

Rakan sekelas, Nur Farisya Farhana Nazri, 9, turut sebak apabila Anis Hamira Husna tidak mahu melepaskan genggaman tangannya ketika dia  bersalaman.

Menurut Nur Farisya, ketika Anis Hamira masih sihat, mereka sering bersama-sama melakukan aktiviti di sekolah membolehkan dia terlalu merindui rakannya itu.

Pertemuan yang disaksikan kedua ibu bapa Anis Hamira serta rakan dan guru itu menjadikan suasana majlis sayu seketika.

Sementara itu, Md Yusof berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu sebuah resort di sini sejak anaknya disahkan menghidap kanser otak pertengahan tahun lalu bagi menguruskan anaknya yang sering berulang-alik ke hospital.

Perbelanjaan keluarga bergantung sepenuhnya kepada pendapatan isteri yang bekerja di sebuah kilang selain bantuan Jabatan Zakat Negeri Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Dia telah menjalani dua kali pembedahan bagi membuang tempurung kepala dan mengetahui tahap kanser yang dihadapi.

“Sejak dua bulan lalu, dia jadi lumpuh dan tidak mampu bergerak serta bercakap manakala daya penglihatan juga merosot,” katanya.

Md Yusof  berterima kasih kepada pihak Econsave yang hadir ke rumahnya Khamis lalu bagi menyampaikan sumbangan tilam angin, kipas angin, lampin pakai buang, keperluan dapur dan barangan lain bernilai RM1,000.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Bank  bernombor 02021134209526 atas nama Md Yusof.

 

 

Sumber:Sinar harian