MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

1MDB perjelas isu loji kuasa solar 50MW di Kedah

1MDB menjelaskan bahawa DuSable Capital Management bukan dan tidak pernah menjadi penandatangan kepada perjanjian pembelian tenaga (PPA) dan pemilik 1MDB Solar Sdn Bhd (1MDB Solar).

1MDB berkata demikian bagi penjelasan mengenai loji kuasa solar 50 megawatt (MW) di Kedah, yang syarikat melantik DuSable untuk membantu pembangunan projek.
 
"Kami percaya penjelasan ini akan menolak dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh sesetengah ahli politik pembangkang, yang secara selektif mengambil dan salah tafsir maklumat berkaitan dengan 1MDB," katanya.
 
1MDB berkata syarikat melantik DuSable untuk membantu pembangunan projek keupayaan penjanaan tenaga solar yang disambungkan kepada grid berskala-utiliti, yang mana DuSable Capital Management diberi ganjaran US$506,000 bagi kos dan perbelanjaan.
 
Pada 18 Mac, 2014, 1MDB menerima surat lantikan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
 
Mengikut surat berkenaan, 1MDB telah diberikan hak untuk membangunkan loji kuasa solar fotovoltan solar skala utiliti pelbagai peringkat, dengan kapasiti agregat sehingga 500MW.
 
Bagaimanapun, 1MDB dikehendaki, antara lain, menjalankan kajian kebolehlaksanaan terperinci, melaksanakan PPA, ekuiti sumber dan pembiayaan hutang dan mendapatkan kelulusan lain yang diperlukan bagi setiap loji tenaga solar.
 
Pada 11 April, 2014, 1MDB, menerusi unitnya, 1MDB Synergy Sdn Bhd dan Yurus Private Equity Fund I, L.P. (Yurus PE Fund), menandatangani Perjanjian Usahasama Induk (Master JVA), untuk bersama-sama membangunkan loji kuasa solar sehingga 500MW di Malaysia.
 
DuSable Capital Management telah dilantik sebagai penasihat pelaburan kepada Yurus PE Fund.
 
Yurus PE Fund menguasai 49 peratus pegangan saham Master JVA dan 51 peratus oleh 1MDB Synergy.
 
Pada 12 April 2014, 1MDB, melalui unitnya 1MDB Solar memeterai PPA dengan Tenaga Nasional Bhd bagi pembinaan loji tenaga solar 50MW di Kedah.
 
"Penting dijelaskan bahawa Yurus PE Fund dan DuSable Capital Management bukan dan tidak pernah menjadi penandatangan PPA ini, atau bertindak sebagai pihak, pada bila-bila masa, memiliki 1MDB Solar," kata 1MDB.
 
1MDB dan DuSable Capital Management kemudiannya terlibat dalam perbincangan untuk perkongsian bagi membangunkan, membiayai dan membina loji kuasa solar 50MW yang dicadangkan di Kedah.
 
Bagaimanapun, tiada perjanjian usaha sama peringkat projek dicapai antara pihak berkenaan bagi projek tenaga solar atau mana-mana projek kuasa solar lain.
 
Pada 2 Okt 2014, sebagai sebahagian daripada rancangan tawaran awam awal (IPO) Edra Global Energy Bhd (Edra), 1MDB memperoleh keseluruhan 49 peratus kepentingan Yurus PE Fund dalam Master JVA, pada US$69 juta.
 
Pengambilalihan ini memastikan 1MDB dan Edra akan memiliki 100 peratus daripada hak untuk membangunkan loji kuasa solar sehingga 500MW, sebelum pelancaran IPO Edra yang dicadangkan.
 
- Bernama