MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kedah

‘Biar Rakyat Putuskan Kedudukan Saya Sebagai Menteri Besar’

Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat Kedah untuk menilai prestasi dan keberkesanan kerjanya sebagai Menteri Besar negeri ini sejak 6 Mei, 2013.

Beliau berkata kedudukannya sebagai menteri besar adalah atas mandat dan kepercayaan diberikan rakyat serta atas perkenan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selepas dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, saya memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

“Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini Rabu malam.

Petang Rabu, hampir kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen UMNO Kedah yang mengadakan pertemuan tertutup di sini telah menyuarakan hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah membacakan kenyataan dua muka surat bagi mengumumkan keputusan mesyuarat itu yang turut hadiri ketua-ketua sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO negeri.

Antara pemimpin lain yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharom; dan Pengerusi Tabung Haji yang juga Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sumber:mynewshub