MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Kulim

Maahad Tahfiz pertama di Kedah gabungkan sains dan Al-Quran

KULIM - Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) merupakan maahad tahfiz pertama di Kedah yang menggabungkan pelajaran Sains dan Al-Quran dalam usaha melahirkan generasi saintis dan profesional yang menguasai ilmu akademik, memahami hukum hakam serta menghayati A-Quran dalam setiap aspek kehidupan.

MTSD adalah cetusan idea dari Menteri Besar, YAB Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak yang kini telah memulakan sesi pengajian pada 2 Jan 2012 yang lalu. Seramai 50 pelajar yang terdiri dari 25 pelajar perempuan dan 25 pelajar lelaki telah dipilih  untuk sesi pengajian tahun ini.

Pelajar yang diterima masuk belajar di MTSD selain memiliki 5A dalam UPSR dan boleh membaca Al-Quran dengan baik, mereka terlebih dahulu perlu menduduki temuduga yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK). Hanya pelajar yang lulus temuduga berkenaan sahaja yang akan diterima belajar di MTSD.

Sekolah yang ditabbir sepenuhnya oleh JHEAIK, kini beroperasi di kampus sementaranya di Jalan Pegawai, Kulim sementara kampus tetap di Pulau Tuba siap dibina pada tahun 2015. Di kampus sementara ini, kelengkapan seperti blok pentadbiran, blok akademik, blok makmal, bengkel, perpustakaan, dewan makan, asrama puteri dan putera, surau dan rumah warden disediakan.

Kurikulum MTSD terbahagi kepada tiga iaitu Kurikulum Tahfiz Al-Quran, Agama dan Bahasa Arab serta Akademik (KBSM). Sementara itu Ko-Kurikulum MTSD juga dibahagikan kepada tiga, melibatkan sukan dan permainan, badan berunifom serta kelab dan persatuan.

Selain itu, pelajar-pelajar MTSD dikehendaki menghabiskan hafazan mereka mengikut kadar yang ditetapkan. Untuk tingkatan satu sebanyak 6 juzuk, tingkatan dua 7 juzuk, tingkatan tiga 6 juzuk, tingkatan empat 7 juzuk dan 4 juzuk di tingkatan lima. MTSD mensasarkan 30 juzuk Al-Quran lengkap dihafal oleh pelajar selama lima tahun persekolahan mereka di situ.

Walau pun MTSD baru berusia kurang dari setahun, namun melalui aktiviti kemasyarakatan di kawasan berhampiran menjadikan ianya cepat dikenali serta akhlak baik yang diperlihatkan oleh pelajar-pelajar MTSD mendapat pujian dan menarik minat masyarakat untuk mengenali MTSD dengan lebih dekat lagi. Selain itu MTSD juga turut mengambil bahagian dalam acara sukan anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Agama Kedah (MASSAK).

Sementara itu, guru-guru di MTSD merupakan guru-guru berpengalaman serta memiliki kelulusan setaraf dengan guru-guru di sekolah-sekolah kementerian pendidikan. Mereka juga dibayar gaji bulanan sama seperti guru-guru kementerian.

Sasaran MTSD hanya 50 pelajar setiap pengambilan dan dijangkakan hanya sekitar 250 pelajar sehingga 300 pelajar termasuk yang menduduki STAM dan STPM akan diterima masuk ke MTSD. Dengan jumlah sedemikian memberi ruang yang selesa kepada tenaga pengajar untuk merealisasikan matlamat, visi dan missi MTSD.

Lepasan MTSD berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara samada untuk bidang agama, tahfiz, kedoktoran, kejuruteraan, saintis atau lain-lain yang berkaitan. Mereka juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 untuk menduduki STAM, STPM atau mengikuti kursus Diploma Tahfiz.

Semoga usaha murni kerajaan negeri diberkati Allah dan MTSD akan muncul sebagai institusi pengajian yang terunggul di Kedah khasnya dan di Malaysia amnya.

Sumber : portal.kedah.gov.my