MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Baling

Pasar malam berbau, kotor

BALING - Hampir 300 penduduk di sini, kecewa dengan bau yang memualkan di kawasan Pasar Malam Kupang.

Keadaan bertambah teruk ketika waktu hujan apabila longkang di kawasan tersebut tersumbat mengakibatkan limpahan air di kawasan pasar malam itu.

Penduduk, Zainal Abu Bakar berkata, masalah itu sudah lama berlarutan menyebabkan penduduk dan peniaga tidak berpuas hati dengan pengurusan pasar malam berkenaan.

“Kita tidak menyalahkan mana-mana individu, tetapi pihak berkenaan sepatutnya peka dengan keadaan ini, yang ternyata memberi kesan buruk kepada penduduk.

“Bukan saja berbau dan dipenuhi sampah sarap, malah kawasan longkang turut dipenuhi ulat. Tindakan membakar sampah-sarap hanya meliputi sampah di atas tapak pasar tetapi tidak di dalam longkang,” katanya.

Zainal berkata, keadaan itu mengakibatkan longkang tersumbat dan air melimpah di kawasan tapak terbabit setiap kali hujan.

Menurutnya, ketiadaan kemudahan asas seperti tong sampah juga menjadi penyebab peniaga membuang segala sampah sarap sesuka hati di kawasan terbabit.

“Keadaan ini membuatkan kawasan pasar malam kotor dan menjijikkan selepas tamat perniagaan.

“Tindakan pihak bertanggung jawab membakar dan membersihkan kawasan ini amat dihargai, namun masih terdapat beberapa tempat yang terlepas pandang dan tidak dibersihkan, terutamanya longkang,” katanya.

Zainal berkata, kemudahan tong sampah perlu disediakan untuk mengelak peniaga terus membuang sampah-sarap ke dalam longkang.

“Walaupun begitu, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keadaan kawasan pasar malam ini bersih dan selesa,” katanya.  - Sumber sinar harian.